KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit hari ini selepas peningkatan pada lewat dagangan hanya mampu menampan penyusutan awal, disokong oleh aktiviti belian saham-saham wajaran tinggi yang didahului oleh kaunter perladangan, penjagaan kesihatan dan kewangan.
Sewaktu ditutup hari ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.43 mata atau 0.03 peratus kepada 1,466.46 selepas dibuka 1.42 mata lebih rendah kepada 1,465.47.
Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 688 berbanding 365 manakala 401 kaunter lain tidak berubah, 636 tidak diniagakan dan 20 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat sedikit kepada 5.94 bilion saham bernilai RM3.29 bilion daripada 5.90 bilion saham bernilai RM3.90 bilion pada Jumaat lepas.
Sementara itu, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata antara 30 saham di FBM KLCI, Sime Darby muncul kaunter paling untung dengan kenaikan sebanyak 2.90 peratus hari ini manakala Dialog Group mendahului kaunter paling rugi dengan susut 2.7 peratus.
Mengikut sektor, indeks pengangkutan dan logistik bursa menokok 5.36 peratus, sekaligus menjadikannya paling untung dalam kalangan sektor berikutan berita pembekuan pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier selama dua tahun.
Indeks tenaga pula paling rugi berikutan sikap pelabur yang berhati-hati menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang boleh memberi impak terhadap dasar membabitkan pengeluaran minyak negara itu.
“Sebagai contoh, kemenangan (calon presiden) Joe Biden akan memberi impak negatif terhadap harga minyak kerana beliau telah mencadangkan peruntukan US$1.7 trilion ke atas inisiatif tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan matlamat mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
“Keadaan sebaliknya bagi kemenangan semula Donald Trump yang dilihat berita positif untuk harga minyak kerana aspek perubahan iklim bukan agenda utamanya,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, seorang penganalisis berkata pasaran kekal berhati-hati dengan semua pihak menumpukan keputusan sama ada Jawatankuasa Dasar Monetari yang bermesyuarat esok, akan bertindak mengurangkan lagi Kadar Dasar Semalaman selain faktor Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
“MPC akan bermesyuarat untuk kali terakhir pada 2020 dan ada kemungkinan besar OPR dikurangkan lagi sebanyak 25 mata asas kepada 1.50 peratus.
“Sentimen turut diheret turun oleh kelembapan data pembuatan. Kaunter rugi termasuk Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N), Supermax Corporation, Malaysian Pacific Industries Bhd, Ajinomoto (M) Bhd dan PBB Group Bhd,” katanya.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi Pembuatan Malaysia IHS Markit – petunjuk angka tunggal komposit bagi prestasi pembuatan, susut bagi bulan keempat berturut-turut kepada 48.5 daripada 49.0 pada September.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menokok satu sen kepada RM7.01, Tenaga naik enam sen kepada RM9.60, Petronas Chemicals meningkat 11 sen kepada RM5.96 dan IHH Healthcare menambah sembilan sen kepada RM5.06.
Top Glove sebaliknya susut 18 sen kepada RM8.39 manakala Hartalega dan Public Bank masing-masing jatuh 16 sen kepada RM17.84 dan RM14.92.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas susut 51.55 mata kepada 10,562.03, Indeks FBMT 100 turun 49.05 mata pada 10,383.58 dan Indeks Syariah FBM Emas merosot 55.70 mata kepada 12,685.98.
FBM 70 pula merosot 244.30 mata kepada 13,740.79 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 51.19 mata kepada 11,958.20 namun Indeks Perladangan naik 28.60 mata kepada 6,830.50.
Dalam pada itu, indeks produk dan perkhidmatan industri menokok 0.51 mata kepada 141.65.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 3.02 bilion saham bernilai RM2.58 bilion daripada 5.90 bilion saham bernilai RM3.90 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah waran meningkat kepada 913.27 juta unit bernilai RM184.83 juta daripada 724.08 juta unit bernilai RM158.25 juta, sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 2.01 bilion saham bernilai RM520.76 juta berbanding 1.80 bilion saham bernilai RM560.49 juta, sebelumnya.
Selain itu, produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 629.49 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (618.10 juta), pembinaan (126.32 juta), teknologi (232.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (40.46 juta), hartanah (232.76 juta), perladangan (39.84 juta), REIT (5.92 juta), dana tertutup (9,500), tenaga (146.00 juta), penjagaan kesihatan (98.45 juta), telekomunikasi dan media (50.59 juta), pengangkutan dan logistik (739.65 juta) serta utiliti (55.28 juta).
— BERNAMA