KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) — Bursa Malaysia yang mencatatkan peningkatan pada sesi pagi, ditutup rendah petang ini dengan gelombang terkini pandemik COVID-19 terus menyuramkan harapan untuk pemulihan ekonomi global.
Pada penutup, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.15 mata kepada 1,495.20 selepas dibuka 5.2 mata lebih tinggi pada 1,505.48.
Kaunter rugi mengatasi untung dengan 737 berbalas 291 manakala 440 kaunter tidak berubah, 682 tidak diniagakan dan 79 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 4.66 bilion saham bernilai RM3.43 bilion berbanding 4.71 bilion saham bernilai RM4.10 bilion semalam.
Saham Pasaran ACE meneruskan trend menurun dengan indek pasaran menyusut 2.14 peratus sementara dari segi sektor pula, penjagaan kesihatan dan utiliti mencatatkan kemerosotan terbesar, masing-masing jatuh 1.44 peratus dan 1.35 peratus.
Seorang penganalisis berkata momentum lembap ini disebabkan harapan yang kian suram bahawa pemulihan ekonomi akan berjalan lancar dalam tempoh suku ini kerana lebih banyak negara dijangka akan mengetatkan lagi langkah-langkah kawalan pergerakan.
“Dengan Perancis telah bersedia mengumumkan sekatan pergerakan baharu COVID-19 manakala Jerman pula bertindak menutup restoran selama sebulan bagi mengekang peningkatan kes COVID-19, ia menyaksikan Eropah berhadapan dengan tekanan baharu.
“Malaysia tidak terkecuali daripada gelombang ketiga COVID-19 kerana Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Sabah telahpun diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat dan diperketatkan,” kata beliau.
Penganalisis itu berkata sementara pihak berkuasa kesihatan yakin jumlah kes dapat dibendung dalam masa sebulan, tinjauan untuk tahun ini terus berada dalam momentum menurun.
Ini telah menyebabkan permintaan yang lesu untuk ekuiti daripada pelabur asing dan runcit kerana ketidakpastian terus menyelubungi dan beralih kepada aset yang lebih selamat,” kata beliau.
Selain itu, Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 Nov serta pilihan raya presiden AS pada 3 Nov terus mempengaruhi trend pasaran.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Hartalega turun 26 sen kepada RM18.028, IHH susut lima sen kepada RM5.10, dan MISC merosot empat sen kepada RM6.75.
Bagi saham paling rugi, kaunter pengguna mendahului dengan dengan Nestle turun RM1.10 kepada RM140.60 dan Dutch Lady berkurangan 68 sen kepada RM34.72.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 47.44 mata kepada 10,820.63, Indeks FBMT 100 turun 44.23 mata pada 10,631.88 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 57.14 mata kepada 12,978.35.
Sementara itu, FBM 70 menyusut 88.90 mata kepada 14,244.10 dan FBM ACE lemah 214.79 mata kepada 9,820.54.
Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 52.11 mata kepada 12,260.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih rendah sebanyak 0.90 mata pada 143.84, dan Indeks Perladangan turun 19.01 mata kepada 6,922.56.
Pasaran akan ditutup esok sempena sambutan Maulidul Rasul dan akan beroperasi semula pada hari Jumaat.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.47 bilion bernilai RM2.75 bilion daripada 2.29 bilion saham bernilai RM3.20 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran mengukuh kepada 746.48 juta saham bernilai RM188.71 juta daripada 659.15 juta Selasa bernilai RM191.70 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 1.44 bilion saham bernilai RM496.64 juta daripada 1.75 bilion saham bernilai RM703.70 juta.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 426.07 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (752.71 juta), pembinaan (195.32 juta), teknologi (298.0 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (35.05 juta), harta tanah ( 258.43 juta), perladangan (48.08 juta), REIT (7.51 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (127.23 juta), penjagaan kesihatan (99.83 juta), telekomunikasi dan media (76.03 juta), pengangkutan dan logistik (92.83 juta) dan utiliti (57.57 juta).
– BERNAMA