KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup lemah petang ini sejajar dengan prestasi kurang memberangsangkan di bursa-bursa serantau yang lain.
Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Victor Wan berkata ketidakpastian politik yang berterusan, diikuti dengan kekurangan pemangkin baharu telah menyebabkan sentimen pasaran terus suram di keseluruhan pasaran.
Pada pukul 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.30 mata atau 0.61 peratus kepada 1,513.95 daripada 1,523.25 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks utama dibuka lebih rendah sebanyak 1.81 mata kepada 1,521.44 dan bergerak antara 1,512.96 dan 1,524.03 sepanjang sesi urus niaga.
Pergerakan harga pasaran negatif dengan menyaksikan kaunter rugi mengatasi rugi dengan 593 berbalas 431 sementara 446 kaunter tidak berubah, 657 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 6.29 bilion unit bernilai RM4.74 bilion berbanding 7.03 bilion unit bernilai RM6.25 bilion pada Rabu.
Di pasaran serantau, Indeks Straits Times Singapura merosot 1.39 peratus kepada 2,520.19, Nikkei Jepun turun 0.51 peratus kepada 23,507.23 dan Indeks Hang Seng Hong Kong pula berkurangan sebanyak 2.06 peratus kepada 24,158.54.
“Pasaran tempatan terus mengikuti trend menurun di pasaran serantau.
“Selain daripada itu, kegiatan pengambilan untung di kaunter sarung tangan getah turut menjejaskan prestasi pasaran secara keseluruhannya,” kata Wan berkata Bernama.
Daripada 30 kaunter FBM KLCI, dua pertiga daripada kaunter kekal di zon merah dengan kerugian diketuai oleh Top Glove yang turun 14 sen kepada RM9.34.
Digi dan IOI Corp masing-masing menyusut 13 sen kepada RM3.97 dan RM4.32, sementara Axiata dan IHH masing-masing jatuh sembilan sen kepada RM2.81 dan RM4.96.
Di pasaran yang lebih luas, saham yang paling cergas didagangkan termasuklah Metronic Global yang merosot tiga sen kepada tujuh sen, Advance Synergy menambah satu sen kepada 20.5 sen, Luster naik setengah sen kepada 14.5 sen dan EC Ceramics menokok lapan sen kepada 90 sen.
Samaiden yang disenaraikan di Pasaran ACE hari ini meningkat 32.5 sen pada 80.5 sen
Saham paling rugi didahului oleh F&N yang merosot 60 sen kepada RM32.40, diikuti Carlsberg jatuh 36 sen kepada RM18.90 dan Rubberex lega 32 sen kepada RM7.70.
Saham paling untung termasuk Nestle yang melonjak RM2.10 kepada RM141.50, Bursa Malaysia meningkat 32 sen kepada RM8.80 dan Amtel mengukuh 29.5 sen kepada RM1.23.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 47.67 mata kepada 10.977.99 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 80.27 mata kepada 13,173.27.
Indeks FBMT 100 menyusut 48.93 mata kepada 10,790.32, FBM ACE turun 95.44 mata kepada 10,875.85 sementara FBM 70 meningkat 1.35 mata kepada 14,554.14.
Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 12.64 mata kepada 12,463.59, Indeks Perladangan merosot 56.77 mata kepada 6,912.71 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.10 mata kepada 144.25.
Indeks Penjagaan Kesihatan juga merosot 18.81 mata kepada 4,169.11.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 3.62 bilion saham bernilai RM3.46 bilion daripada 3.86 bilion saham bernilai RM4.60 bilion pada hari Rabu.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 905.30 juta unit bernilai RM214.06 juta berbanding 906.11 juta unit bernilai RM243.59 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE lebih rendah kepada 1.76 bilion saham bernilai RM1.06 bilion berbanding 2.26 bilion saham bernilai RM1.40 bilion semalam.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 886.94 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.53 bilion), pembinaan (84.79 juta), teknologi (252.10 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (34.11 juta), hartanah (243.13 juta), perladangan (48.88 juta), REIT (9.90 juta), dana tertutup (5,800), tenaga (295.48 juta), penjagaan kesihatan (141.80 juta), telekomunikasi dan media (30.76 juta), pengangkutan dan logistik (26.76 juta), dan utiliti (41.68 juta).
– BERNAMA