KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat sehingga membawa kepada penguatkuasaan kembali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri di negara ini bermula tengah malam ini telah menyeret turun indeks utama Bursa Malaysia sebanyak 11.92 mata hari ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras dagangan tempatan susut 11.92 mata atau 0.78 peratus kepada 1,518.43 daripada 1,530.35 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Barometer pasaran dibuka 4.43 mata lebih rendah kepada 1,525.92 dan bergerak di antara 1,512.74 dengan 1,526.02 sepanjang dagangan hari ini.
Lingkungan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 573 berbanding 498 manakala 400 kaunter tidak berubah, 666 kaunter tidak diniagakan dan 34 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 5.97 bilion unit bernilai RM3.82 bilion daripada 6.60 bilion unit bernilai RM2.89 bilion pada Jumaat lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn Bhd, Danny Wong Teck Meng berkata pelabur memilih untuk tidak menyertai pasaran memandangkan, sebelum ini, PKPB dijangka diumumkan bagi beberapa negeri, iaitu Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sabah.
“Mereka memilih untuk tidak memasuki pasaran buat masa ini untuk memantau perkembangan selepas PKPB dilaksanakan, memandangkan ia mungkin memberi kesan ke atas keuntungan beberapa syarikat.
“Justeru, kita boleh menyaksikan minat belian berkurangan atau suram dalam bursa tempatan,” katanya kepada Bernama bagi mengulas prestasi dagangan hari ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan akan menguatkuasakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah makam, 14 Okt hingga 27 Okt ini.
Beliau juga berkata penguatkuasaan PKPB di seluruh Sabah pula mulai tengah malam ini 13 Okt hingga 26 Okt.
Daripada 30 konstituen FBM KLCI, Public Bank turun 32 sen kepada RM15.82, Tenaga susut 20 sen kepada RM10.20, Sime Darby Plantation kurang 16 sen kepada RM5.00, IHH menguncup tujuh sen kepada RM4.99 sementara CIMB merosot enam sen kepada RM3.10.
Antara yang paling aktif, Advance Synergy turun enam sen kepada 20.5 sen, Pasukhas Group kurang 1.5 sen kepada enam sen, Malayan United Industries merosot 2.5 sen kepada 11.5 sen, sementara JCY menambah 2.5 sen kepada 76.5 sen dan XOX tidak berubah pada 12 sen.
Saham paling rugi, Nestle merosot RM1.10 kepada RM139.10, F&N kurang 70 sen kepada RM32.30 dan KLK susut 28 sen kepada RM22.22.
Saham paling untung termasuk Pharmaniaga yang melonjak 50 sen kepada RM5.19, Supermax menambah 45 sen kepada RM9.96 dan Rubberex menokok 39 sen kepada RM6.48.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 52.40 mata kepada 10,968.52, Indeks FBMT 100 susut 53.92 mata kepada 10,786.89 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 24.43 mata kepada 13,106.30.
FBM 70 naik 47.66 mata kepada 14,412.30 dan FBM ACE menambah 22.81 mata kepada 10,579.96.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 119.39 mata kepada 12,544.98, Indeks Perladangan kurang 73.04 mata kepada 7,002.18 sementara Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.35 mata kepada 142.32.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 3.97 bilion saham bernilai RM3.10 bilion daripada 4.88 bilion saham bernilai RM2.89 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 1.34 bilion saham bernilai RM552.21 juta daripada 1.28 bilion saham bernilai RM373.40 juta minggu lepas.
Jumlah perolehan waran menokok kepada 653.87 juta unit bernilai RM163.37 juta daripada 435.28 juta unit bernilai RM91.55 juta pada Jumaat minggu lepas.
Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 1.46 bilion saham didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (950.75 juta), pembinaan (264.21 juta), teknologi (354.70 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (33.36 juta), hartanah (285.09 juta), perladangan (103.03 juta), REIT (5.49 juta, dana tertutup (25,700), tenaga (186.12 juta), penjagaan kesihatan (151.38 juta), telekomunikasi dan media (42.35 juta), pengangkutan dan logistik (25.85 juta) serta utiliti (110.27 juta).
— BERNAMA