KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) — Syarikat makanan tambahan kesihatan bersepadu, Bioalpha Holdings Berhad (Bioalpha) mencatatkan jualan lebih RM1 juta pada September apabila ia memulakan eksport ramuan makanan kesihatan ke wilayah Guizhou, China.
Pengarah Urusannya William Hon berkata sumbangan sulungnya adalah daripada perjanjian kontrak bekalan antara Bioalpha (HK) Ltd (Bioalpha HK), anak syarikat milik penuh Bioalpha dengan Guizhou Yuhexin Trading Ltd (Guizhou YHX) serta perjanjian perkongsian dengan Hainan Shifengfu Co Ltd (Hainan SFF) yang dimeterai pada 22 Julai.
“Kontrak bekalan itu bernilai kira-kira RM426.7 juta setahun bagi tempoh lima tahun, tertakluk kepada pembaharuan tahunan dan berpotensi membawa nilai kontrak sehingga RM2.1 bilion bagi tempoh lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa depan, katanya, syarikat itu menimbang peluang untuk mengembangkan bekalan produk ke wilayah lain di China berikutan prospek yang baik di negara itu.
“Kami ingin memaklumkan bahawa rancangan kami berada di landasan dengan operasi berjalan lancar ketika ini dan kami memajak sebuah kilang di hainan dengan saiz kira-kira 1,000 meter persegi bagi tujuan rumah gudang.
“Kami bercadang untuk menyediakan lebih banyak fungsi di kilang di Hainan termasuk pembungkusan dan pengeluaran ketika kami semakin berkembang,” katanya..
Sebagai sebahagian daripada langkah strategiknya, Hon said Bioalpha HK telah memperbadankan anak syarikat milik penuh baharu di Hainan, Bioalpha (Hainan) Health Biotechnology Ltd (Bioalpha Hainan) pada 26 Ogos, dengan modal saham dibenar dan modal berbayar masing-masing sebanyak RMB15 juta (RM1 = RMB1.64).
“Selain itu, Bioalpha Hainan juga membuka pejabat di Zon Pembangunan Ekonomi Yangpu yang terletak di wilayah Hainan, China.
“Zon pembangunan itu merupakan zon ekonomi terbesar Hainan dan menikmati dasar keutamaan zon perdagangan bebas seperti yang diluluskan oleh State Council of China pada 1992,” katanya.
— BERNAMA