KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Prospek keseluruhan industri minyak dan gas (O&G) kekal positif walaupun diasak cabaran impak penularan COVID-19 yang menyebabkan sektor tersebut mengalami penurunan ketara.
Ambank menerusi nota penyelidikan ekuitinya hari ini berkata, pandemik itu akan memberi kesan negatif bersih terhadap permintaan minyak global sehingga 2025 dengan anggaran 0.9 juta tong sehari di bawah paras ketika tempoh sebelum berlakunya COVID-19.
“Ini selepas mencatat penurunan sebanyak 23 juta tong pada April dan kira-kira tujuh juta tong pada Disember 2020,” katanya.
Menurutnya, tinjauan ‘Deep Dive Oil Market’ oleh Rystad Energy yang juga syarikat tinjauan kajian dan perniagaan tenaga menunjukkan senario COVID-19 pada fasa berikutnya boleh menyebabkan penurunan sehingga tiga juta tong sehari menjelang akhir tahun ini.
“Ini menjadikan hanya 3.5 juta tong sehari pada Disember 2021 yang dijejaskan oleh penyusutan permintaan terhadap bahan api pesawat, gasolin, diesel dan bahan api lain,” katanya.
Rystad turut mengunjurkan bahawa harga minyak akan meningkat mengikut senario mengikut kes kepada US$75 setong pada akhir 2022.
“Sebarang peningkatannya akan mencecah lebih US$90 setong menjelang pertengahan 2022 dan diikuti dengan penyusutan lebih drastik kepada US$30 setong pada 2024 membabitkan potensi pelaburan,” katanya.
Berikutan ketidaktentuan harga minyak mentah semasa, ia juga percaya kitaran penurunan tersebut telah mencecah paras terendahnya.
Pada 10.25 pagi ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global berada pada paras US$41.49 setong.
“Dialog Group, Serba Dinamik Holdings dan Petronas Chemicals Group telah mencecah paras rendah manakala Petronas Gas pula menunjukkan strategi struktur modal yang optimum dengan pendapatan berdaya tahannya dapat diterjemahkan dalam bentuk hasil dividen yang menarik,” demikian menurut Ambank.
Petronas Gas dan Petronas Chemical adalah syarikat utama di bawah Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Selain itu, setakat 10.22 pagi ini, saham-saham Petronas Gas naik lapan sen kepada RM16.46, Petronas Chemical sebaliknya susut empat sen kepada RM5.96 manakala Dialog dan Serba Dinamik masing-masing tidak berubah pada RM3.80 dan RM1.62.
— BERNAMA