KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) — Penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) Samaiden Group Bhd, menyasar mengumpulkan RM29.35 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).
Syarikat itu dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 Okt ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Ir Chow Pui Hee berkata 24 peratus atau RM7 juta hasil IPO akan digunakan untuk membeli pejabat korporat baharu syarikat dengan kemudahan penyimpanan untuk menyimpan modul solar fotovolta (PV) dan peralatan serta bahagian berkaitan untuk menyokong pengembangan perniagaan.
Sembilan peratus lagi akan digunakan untuk menubuhkan pejabat jualan dan teknikal di Pulau Pinang, Sabah dan Vietnam, manakala 57 peratus akan diperuntukkan bagi jumlah modal kerja dan perbelanjaan modal, katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di sini, hari ini.
“Sebahagian daripada strategi perniagaan kami dalam maju ke hadapan adalah untuk memperluaskan perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi melibatkan diri dalam membangunkan, pemilikan dan pengoperasian loji penjanaan tenaga biogas bersepadu 1.2-megawatt (MW), arus ulang alik (MWac) di Bachok, Kelantan.
“Kami juga akan melabur dalam loji janakuasa solar PV, dengan perancangan kapasiti eksport terpasang 12MW dengan saling hubung ke pencawang grid kuasa di Sungai Petani, Kedah,” katanya.
Chow juga berkata Samaiden juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatan perundingan RE dan alam sekitar dengan penggunaan semula bangunan dan sistem penjimatan tenaga dengan harapan ia akan memberikan aliran pendapatan berulang kepada syarikat.
IPO Samaiden membabitkan terbitan awam sebanyak 61.155 juta saham baharu pada harga terbitan 48 sen sesaham.
Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 210 juta saham dan harga IPO, permodalan pasaran syarikat adalah RM100.8 juta.
Chow berkata memandangkan RE Malaysia hanya menyumbang lapan peratus campuran tenaga negara pada 2019, dan menyasarkan 20 peratus pada 2025, prospek untuk industri dan sektor solar PV cerah.
Menurut data Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari(SEDA), grid yang dipasang menghubungkan sistem solar PV dan segmen loji janakuasa bernilai RM1.685 bilion.
Penguasan pasaran saham syarikat adalah empat peratus berdasarkan pendapatan 2020 sebanyak RM74.7 juta untuk EPCC sistem solar PV dan loji janakuasa.
“Kami sangat percaya adanya potensi pengembangan yang boleh kami manfaatkan, selain daripada fokus kami terhadap Vietnam sebagai sasaran perluasan pasaran seberang laut.
“Lebih-lebih lagi, walaupun berusia kurang dari 10 tahun, pertumbuhan pendapatan syarikat sangat memberangsangkan,” kata Chow.
Kadar pertumbuhan tahunan pendapatan terkompaun tiga tahun syarikat sehingga tahun kewangan 2020 ialah 126.79 peratus, terutamanya dipacu oleh perolehan yang tinggi hasil daripada perkhidmatan EPCC bagi loji janakuasa solar PV di bawah program loji solar PV berskala besar (LSS) 1 dan LSS2,” tambahnya.
— BERNAMA