JOHOR BAHRU, 27 Sept (Bernama) — Syarikat pembekal air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd mencatatkan pengurangan pendapatan sebanyak 20 peratus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mei lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Nor Ifuan Md. Nor berkata ini adalah disebabkan penggunaan air yang rendah kerana kebanyakan sektor industri di negeri ini tidak beroperasi dalam tempoh berkenaan.
“Pada awal PKP, pengurangan pendapatan agak ketara, mungkin ketika itu banyak kilang-kilang sektor ditutup. Cuma akhir-akhir ini apabila kilang sudah kembali beroperasi secara normal, pengurangan itu kini tinggal lima peratus sahaja,” kata beliau kepada pemberita selepas program Hari Kesihatan Ranhill SAJ di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Mohd Izhar Ahmad.
Pada masa sama, Nor Ifuan menjelaskan pola penggunaan air turut menunjukkan perubahan dengan penggunaan lebih banyak membabitkan sektor domestik berbanding industri.
“Perubahan pola penggunaan air ini ekoran masih banyak industri kecil dan sederhana (IKS) yang belum beroperasi sepenuhnya dan banyak di rumah,” katanya.
Sementara itu, mengenai Hari Kesihatan yang dianjurkan pihaknya semenjak tiga tahun lepas, Nor Ifuan berkata program berkenaan sedikit sebanyak telah memberi impak positif gaya hidup sihat dalam kalangan pekerjanya.
“ Ia beri impak positif kepada kesihatan pekerja khususnya melibatkan penurunan berat badan,” katanya.
— BERNAMA