KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) — Lebihan dagangan Malaysia pada Ogos 2020 mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 19.7 peratus kepada RM13.23 bilion daripada Ogos 2019 dan merupakan nilai lebihan dagangan melebihi RM10 bilion bagi kali ketujuh yang direkodkan tahun ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata nilai eksport berjumlah RM79.14 bilion, menurun 2.9 peratus manakala nilai import menguncup 6.5 peratus kepada RM65.92 bilion.
“Jumlah perdagangan bernilai RM145.06 bilion, menyusut 4.6 peratus daripada Ogos 2019. Perdagangan yang rendah direkodkan terutama dengan Thailand, Bangladesh, Indonesia dan Jepun. Bagaimanapun, perdagangan lebih tinggi telah dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), China dan Arab Saudi,” menurut MITI.
Ia berkata demikian menerusi laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia: Prestasi Perdagangan Luar Bagi Ogos 2020 Dan Tempoh Januari-Ogos 2020 yang dikeluarkan hari ini.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan 9.3 peratus, 14.5 peratus dan 2.2 peratus manakala lebihan dagangan turun 47.5 peratus.
Bagi lapan bulan pertama 2020, lebihan dagangan meningkat 2.9 peratus kepada RM102.98 bilion daripada angka pada tempoh sama 2019.
“Jumlah perdagangan bernilai RM1.138 trilion, menyusut sebanyak 6.5 peratus terutama disebabkan perdagangan lebih rendah dengan Thailand, Singapura, India dan Jepun.
“Namun, kenaikan perdagangan telah direkodkan dengan Korea Selatan, AS, Bahrain dan China. Eksport pada tempoh ini bernilai RM620.64 bilion, susut 5.8 peratus dan import bernilai RM517.66 bilion, turun 7.3 peratus,” menurut kementerian itu.
MITI berkata eksport barangan perkilangan pada Ogos 2020 bernilai RM68.57 bilion atau merangkumi 86.6 peratus daripada jumlah eksport, susut secara marginal sebanyak 0.1 peratus tahun ke tahun.
Penurunan ini disebabkan terutama oleh eksport lebih rendah bagi barangan perkilangan logam serta kimia dan bahan kimia namun pengurangan ini telah diimbangi oleh peningkatan eksport bagi barangan elektrik dan elektronik serta keluaran getah, menurutnya.
Kementerian itu berkata eksport keluaran pertanian (syer 7.2 peratus) bernilai RM5.71 bilion, menyusut 4.5 peratus disebabkan terutama oleh pengurangan eksport kayu gergaji dan kumai serta getah asli manakala eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit merekodkan peningkatan.
Eksport hasil galian (syer 5.8 peratus) bernilai RM4.55 bilion, turun 25.9 peratus tahun ke tahun berikutan eksport lebih rendah bagi gas asli cecair (LNG), katanya.
MITI berkata bagi prestasi perdagangan dengan pasaran utama, perdagangan dengan ASEAN pada Ogos 2020 bernilai RM35.64 bilion atau 24.6 peratus syer kepada jumlah perdagangan Malaysia, turun 10.4 peratus berbanding Ogos 2019.
“Eksport bernilai RM21.09 bilion, susut lapan peratus berikutan pengurangan eksport petroleum mentah; barangan perkilangan logam; kimia dan bahan kimia serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
“Bagaimanapun, pertumbuhan eksport telah dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik serta keluaran petroleum. Import dari ASEAN berkurangan 13.7 peratus kepada RM14.55 bilion,” menurutnya.
Ia berkata eksport ke pasaran ASEAN yang mencatatkan peningkatan termasuk ke Singapura, naik sebanyak RM90.4 juta didorong kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik; Myanmar (menokok RM40.3 juta, kimia dan bahan kimia) dan Laos (naik RM0.7 juta, tekstil, pakaian dan kasut).
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan 13 peratus, 17.7 peratus dan 5.3 peratus, katanya.
Perdagangan dengan China pada Ogos 2020 meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun kepada RM27.7 bilion, menyumbang 19.1 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia.
“Eksport ke China mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi tiga bulan berturut-turut, berkembang 20.9 peratus kepada RM13.97 bilion.
“Pertumbuhan ini telah dipacu oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan lain,” menurut kementerian itu.
Import dari China turun 8.5 peratus kepada RM13.73 bilion.
Berbanding Julai 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut 5.9 peratus, 10.3 peratus dan satu peratus.
Perdagangan dengan AS pada Ogos 2020 pula berkembang 8.2 peratus tahun ke tahun kepada RM15.63 bilion, merangkumi 10.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
MITI berkata eksport telah mencatatkan kenaikan bagi tiga bulan berturut-turut, merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6 peratus kepada RM9.46 bilion didorong terutama oleh kenaikan eksport barangan perkilangan.
“Permintaan kukuh bagi barangan perkilangan telah dicatatkan bagi keluaran getah, barangan kayu, barangan optik dan saintifik, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan lain,” menurutnya.
Kementerian itu berkata import dari AS pula menambah 0.9 peratus kepada RM6.17 bilion.
Berbanding Julai 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing turun 10.6 peratus, 15.3 peratus dan 2.3 peratus.
Jumlah perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang mewakili 8.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Ogos 2020, menguncup 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM11.93 bilion.
“Eksport bernilai RM6.96 bilion, turun 4.3 peratus berikutan pengurangan eksport barangan elektrik dan elektronik serta barangan perkilangan logam. Bagaimanapun, peningkatan eksport telah direkodkan bagi keluaran getah serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
“Import dari EU berkurangan 15 peratus kepada RM4.97 bilion,” kata MITI.
Kementerian itu berkata antara 10 pasaran utama EU yang merangkumi 90.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke EU, eksport ke tujuh negara mencatatkan peningkatan.
Negara tersebut ialah Jerman (naik 7.6 peratus), Itali (meningkat 24.9 peratus), Sepanyol (menokok 4.9 peratus), Slovenia (melonjak 57.5 peratus), Republik Czech (menambah 27 peratus), Poland (berkembang 11.9 peratus) dan Hungary (naik 0.5 peratus).
Ia berkata berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport masing-masing susut sebanyak 4.5 peratus dan 9.8 peratus manakala import naik 4.1 peratus.
MITI berkata bagaimanapun perdagangan dengan Jepun pada Ogos 2020 yang merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia telah berkurangan sebanyak 10.5 peratus tahun ke tahun kepada RM9.23 bilion.
“Eksport turun 13.8 peratus kepada RM4.31 bilion berikutan pengurangan eksport LNG dan barangan perkilangan logam.
“Bagaimanapun, pertumbuhan eksport telah direkodkan bagi petroleum mentah; barangan optik dan saintifik; keluaran getah dan minyak sawit serta keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.
Import dari Jepun menurun 7.2 peratus kepada RM4.92 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport masing-masing mencatatkan pengurangan sebanyak 6.7 peratus dan 17 peratus, manakala import meningkat 4.7 peratus, katanya.
MITI berkata perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merangkumi 65.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pula merekodkan penurunan 5.5 peratus tahun ke tahun kepada RM94.77 bilion.
Eksport ke negara rakan dagang FTA bernilai RM53.3 bilion, turun 1.7 peratus manakala import menguncup 10 peratus kepada RM41.47 bilion, katanya.
Kementerian berkata bagi prestasi import keseluruhan, import pada Ogos 2020 susut 6.5 peratus tahun ke tahun kepada RM65.92 bilion daripada RM70.46 bilion yang direkodkan pada Ogos 2019.
Ia berkata tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 75.9 peratus daripada jumlah keseluruhan import adalah barang pengantara bernilai RM36.86 bilion; barang modal bernilai RM6.81 bilion dan barang penggunaan bernilai RM6.39 bilion.
— BERNAMA