KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) — Hampir keseluruhan pasaran di Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih tinggi, dirangsang oleh momentum asas yang kukuh.
Dalam kalangan indeks — teknologi, penjagaan kesihatan, Ace, pasaran bermodal kecil dan sederhana mencatatkan peningkatan, masing-masing melebihi satu peratus kepada indeks.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.77 mata kepada 1,509.91 daripada 1,509.14 ketika ditutup pada Jumaat.
Ia bergerak antara 1,507.35 dan 1,519.05 sepanjang sesi urus niaga pagi, selepas dibuka 1.12 mata lebih tinggi pada 1,510.26.
Di pasaran lebih meluas, ia menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 521 berbalas 372 manakala 408 kaunter tidak berubah, 800 tidak diniagakan dan 21 lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.04 bilion saham bernilai RM1.91 bilion.
Seorang penganalisis berkata kestabilan pasaran adalah seiring dengan pasaran AS yang menyaksikan kerancakan urus niaga di kaunter-kaunter berkaitan teknologi.
“Pada masa sama, kaunter berkaitan penjagaan kesihatan terus menentukan momentum dan ia mungkin menguasai sentimen perdagangan tatkala jumlah jangkitan baharu di seluruh dunia terus meningkat,” kata beliau.
Beliau menambah sentimen turut disokong selepas pilihan raya negeri Sabah, sekali gus menandakan kerajaan persekutuan yang ada sekarang ini masih lagi mendapat sokongan untuk terus memimpin.
“Ini adalah saat yang baik dan saya percaya pelabur patut mengambil kesempatan untuk membeli terutama ketika saham-saham kita berharga murah. Masa yang tepat untuk membeli”.
Sementara itu, dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank kekal pada RM7.09, Top Glove naik tiga sen kepada RM8.83, Tenaga turun dua sen kepada RM10.86 dan Hartalega 42 sen lebih tinggi pada RM17.42.
Kaunter paling cergas, XOX naik 1.5 sen kepada 18.5 sen, Metronic menambah satu sen kepada sembilan sen, Advance Synergy turun tiga sen kepada 14.5 sen dan Vsolar tidak berubah pada empat sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 31.33 mata kepada 10,872.14 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 54.82 mata kepada 13,017.24.
Indeks FBM 70 pula mengukuhkan 120.38 mata kepada 14,170.67, Indeks FBMT 100 meningkat 27.09 mata pada 10,695.60 dan FBM ACE melonjak 137.28 mata kepada 10,164.50.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 3.2 mata kepada 12.324.42, Indeks Perladangan naik 10.13 mata kepada 7.065.25 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.54 mata kepada 135.33.
– BERNAMA