KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) — Keuntungan bersih Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) pada suku ketiga yang berakhir pada 31 Julai, 2020 susut kepada RM13.81 juta daripada RM68.71 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Perolehan merosot kepada RM477.87 juta daripada RM521.37 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti tapak yang terhenti berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suku kedua dan ketiga tahun ini, kata EcoWorld Malaysia dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
EcoWorld Malaysia berkata projek utama yang menyumbang kepada perolehan dan keuntungan kasar pada suku ketiga 2020 adalah Eco Majestic, Eco Forest, dan Eco Sanctuary di Lembah Klang.
Pelbagai projek di Johor dan Pulau Pinang turut menyumbang kepada pendapatan dan keuntungan kasar syarikat itu dalam tempoh yang sama, katanya.
“PKP diikuti oleh PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) yang berpanjangan memberi kesan kepada kumpulan pada suku ketiga 2020. Kerja-kerja pembinaan telah disambung sepenuhnya hanya pada pertengahan bulan Jun lepas kerana protokol keselamatan tambahan yang harus dilaksanakan sebelum ia dapat dimulakan semula,” katanya.
EcoWorld Malaysia mencapai jualan sebanyak RM1.25 bilion dalam tempoh empat bulan selepas PKP.
Kumpulan itu berkata prospek pendapatannya untuk tahun kewangan semasa akan lebih rendah daripada tahun kewangan sebelumnya.
Daripada segi jualan, EcoWorld Malaysia berjaya mencatat RM960 juta pada suku ketiga 2020 dengan RM287 juta lagi telah diperoleh pada Ogos 2020.
Setakat 31 Ogos, 2020, kumpulan itu mencapai jualan sebanyak RM1.58 bilion, mewakili 79 peratus daripada sasaran njualannya yang disemak semula sebanyak RM2 bilion untuk tahun kewangan 2020.
— BERNAMA