SETIA ALAM, 23 Sept (Bernama) — Pemaju hartanah kecilan dan sofistikated, Suntrack Development Sdn Bhd merancang untuk melancarkan projek pembangunan yang menumpukan penggalakkan komuniti pelbagai keupayaan, pelbagai generasi dan terangkum (MAGIC) dengan gabungan nilai pembangunan kasar (NPK) RM750 juta di sini.
Syarikat itu hari ini melancarkan projek fasa pertama — Tuai Residence @ Setia Alam — pembangunan kondominium kediaman 330 unit dengan NPK berjumlah RM194 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif, James KK Tan berkata Tuai Residence diwujudkan berlandaskan penekanan utama kepada keselamatan kanak-kanak dan warga emas, di samping tumpuan perincian bagi persekitaran inklusif dengan penggunaan penuh reka bentuk sejagat (UD).
“330 unit kondominium itu akan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 2.67 hektar, menjadikannya pembangunan kepadatan rendah pada 50 unit seekar. Ia kini di peringkat kerja cerucuk dan dijangka siap pada 2023.
“Seterusnya, projek fasa kedua pula ialah Tuai Timur Residence (330 unit) dengan NPK berjumlah RM200 juta, diikuti oleh 660 unit Rumah Selangorku (RSKU) dengan NPK sebanyak RM205 juta dan pembangunan komersial (NPK berjumlah RM150 juta),” katanya kepada Bernama.
Tan berkata syarikat itu sedang mempertimbangkan untuk menggunakan konsep yang sama bagi projek RSKU dan pembangunan seterusnya di kawasan simpanan tanah seluas 1.34 hektar di Cyberjaya.
MAGIC adalah istilah yang dicipta oleh pakar gerontologi Amerika Syarikat, Dr. Bill Thomas.
Tan berkata pereka pembangunan itu mendapat nasihat daripada pakar UD, Profesor Madya Dr Naziaty Mohd Yaacob dari Fakulti Seni Bina, Universiti Malaya.
Berdasarkan konsep UD, Tuai Residence dirancang bagi persekitaran inklusif untuk memenuhi keperluan warga emas berkerusi roda seperti ruang luas sebagai radius pergerakan di dalam unit; reka bentuk akses mudah seperti laluan pintu yang lebar di kawasan umum dan koridor; lantai paras minimum; tanjakan; lif dan laluan berbumbung di antara kawasan parkir dengan kawasan bersama serta ke kawasan pembangunan runcit masa depan.
“Penekanan utama UD dengan ciri mesra warga emas, keselamatan untuk semua peringkat umur termasuk keselamatan kebakaran dan pejabat penjagaan di lokasi; pembangunan komuniti dan ketenangan fikiran merupakan antara ciri unik yang digabungkan dalam projek Tuai Residence,” katanya.
Beliau berkata pemercik bagi memadam kebakaran disediakan di seluruh tempat, mencontohi penempatan persaraan yang pernah dikunjungi di Australia, China dan Jepun.
Suntrack juga bekerjasama dengan Cality Care, syarikat Australia yang menyediakan penjagaan seperti di rumah di negara itu.
Ia dikendalikan oleh jururawat berdaftar dan penjaga terlatih dari pejabat penjagaan di lokasi, dengan kecemasan perubatan diuruskan sebelum ketibaan ambulans. Syarikat itu turut menyediakan penjagaan di rumah dengan bayaran yang berasingan.
— BERNAMA