KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) — Sapura Energy Bhd dan kumpulan anak-anak syarikatnya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit memberi sogokan atau rasuah bagi urus niaga di Brazil mahu pun di negara-negara lain.
Syarikat itu membuat kenyataan media tersebut sebagai maklum balas terhadap laporan siasatan di Brazil baru-baru ini yang membabitkannya dan Seadrill atas dakwaan rasuah berkaitan kontrak-kontrak Petróleo Brasileiro SA (Petrobras).
“Dalam siasatan awal pihak berkuasa Brazil pada 2016 dan 2017, syarikat ini telah bebas daripada sebarang dakwaan rasuah serta sogokan.
“Syarikat ini juga telah memberi kerjasama sebelum ini dan akan terus berbuat demikian bagi mana-mana siasatan atau dengan pihak berkuasa yang membabitkan (dakwaan) rasuah dan sogokan itu,” kata Sapura Energy dalam kenyataan semalam.
Malah, syarikat itu turut melaksanakan dasar tegas bagi memerangi perbuatan memberi sogokan dan rasuah serta mempunyai dasar dan prosedur dalaman bagi mengurangkan risiko itu.
Sejajar dengan proses serta amalan tadbir urusnya, Sapura Energy turut menyenaraikan klausa mengenai antirasuah dalam semua perjanjiannya dan ia akan terbatal jika terbukti wujud salah laku atau perbuatan berkaitan rasuah.
“Kami telah mengambil langkah segera dan pantas sebelum ini untuk membatalkan obligasi kontrak apabila perkara membabitkan sogokan atau rasuah dibangkitkan.
“Ini jelas membuktikan komitmen kami terhadap dasar tiada kompromi terhadap perbuatan sogokan dan rasuah,” katanya.
Dalam satu kenyataan, pihak pendakwa Persekutuan Brazil berkata mereka telah menjalankan sebanyak 25 pemeriksaan yang bertumpu di Rio de Janeiro serta Sao Paulo dan menyifatkan operasi tersebut bagi mendalami siasatan berkaitan tiga kontrak bernilai US$2.7 bilion yang dimeterai oleh Sapura dan firma minyak nasional, Petrobras pada 2011.
Pihak pendakwa turut memperincikan satu skim yang mana usaha sama membabitkan Sapura Energy dan Seadrill di Brazil didakwa memberi sogokan bernilai 1.5 peratus daripada kontrak yang diraih bersama Petrobras.
— BERNAMA