KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia rendah secara keseluruhannya semasa mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini berikutan aktiviti penjualan berterusan selain turut sejajar dengan prestasi bursa serantau.
Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.53 mata atau 0.70 peratus kepada 1,495.25 daripada 1,505.78 ketika ditutup pada Selasa, setelah bergerak di antara 1,493.82 dengan 1,509.15 sepanjang sesi pagi.
Indeks itu dibuka 1.51 mata lebih tinggi kepada 1,507.29.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 877 berbanding 191, sementara 304 kaunter tidak berubah, 717 kaunter tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 5.15 bilion saham bernilai RM2.56 bilion.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Hartalega naik 26 sen kepada RM14.32, Maybank turun lima sen kepada RM7.15, Top Glove susut tujuh sen kepada RM7.96, TNB kurang 12 sen kepada RM10.90, Public Bank menguncup 18 sen kepada RM15.68 , IHH Healthcare jatuh empat sen kepada RM5.27 dan Petronas Chemicals merosot 10 sen kepada RM5.52.
Bagi saham aktif, Advance Synergy naik 4.5 sen kepada 17 sen, Pegasus Heights tidak berubah pada 2.5 sen, Kanger International turun 5.5 sen kepada 25.5 sen, Pasukhas kurang 3.5 sen kepada sembilan sen manakala Vsolar dan XOX masing-masing kurang setengah sen kepada empat sen dan 18 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 91.59 mata kepada 10,718.53 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 100.04 mata kepada 12,704.37.
FBM 70 susut 137.75 mata kepada 13,813.7, Indeks FBMT 100 kurang 82.04 mata kepada 10,549.78 dan FBM ACE merosot 562.26 mata kepada 10,224.24.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 115.66 mata kepada 12,443.96, Indeks Perladangan kurang 54.9 mata kepada 7,067.77 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.91 mata kepada 133.56.
— BERNAMA