KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — QES Group Bhd membeli sebuah kilang di Hicom Glenmarie Industrial Park, Selangor, bernilai RM21 juta secara tunai sebagai sebahagian daripada pelannya untuk memperluaskan kawasan pejabat dan pengeluarannya.
Pengeluar peralatan pengendalian bahan automatik dan pemeriksaan itu, melalui anak syarikat milik penuh, QES (Asia-Pacific) Sdn Bhd, hari ini menandatangani perjanjian dengan Astronautic Technology (M) Sdn Bhd untuk membeli bangunan lima tingkat yang terletak berhampiran premis sewaannya.
Pengarah Urusan dan Presiden QES, Chew Ne Weng berkata, cadangan pembelian itu sejajar dengan pelan pengembangan syarikat untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada dengan menggunakan barisan pengeluaran baharu.
“Pengembangan itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran QES serta menyokong pertumbuhan dan pelan pengembangan masa depan bagi bahagian pengeluaran dan pengedaran syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
QES merancang untuk membiayai cadangan pembelian itu melalui dana dalaman dan/atau pinjaman bank.
Katanya cadangan pembelian itu dijangka selesai dalam masa tiga bulan.
— BERNAMA