Jade Marvel Group Bhd merancang untuk membina projek perumahan kediaman di Pulau Pinang dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM25 juta.
Subsidiari Jade Marvel, Great Marvel Sdn Bhd (GMSB) telah memulakan perjanjian usaha sama (JV) dengan JSC Land Sdn Bhd hari ini bagi membangunkan tanah pegangan bebas seluas 1.31 hektar milik GMSB di Simpang Ampat.
“Usaha sama ini adalah sejajar dengan matlamat kumpulan untuk mengembangkan segmen pembangunan hartanahnya melalui kerjasama strategik,” kata Jade Marvel dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Pembangunan perumahan kediaman itu merangkumi teres tiga tingkat/rumah bersambung.
Di bawah perjanjian itu, GMSB berhak menerima tunai RM7 juta atau tukaran unit-unit rumah daripada JSC dalam tempoh 36 bulan dari tarikh iklan dan permit jualan serta lesen pemaju.
Menurut Jade Marvel, pembayaran pertama sebanyak RM300,000 akan diterima selepas pelaksanaan JV berkenaan, sambil menambah kerja-kerja pembinaan dijangka bermula menjelang akhir tahun depan.
Jade Marvel terlibat dalam perniagaan pembuatan, pembangunan hartanah, pembinaan dan pelaburan.
— BERNAMA