KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — Peneraju industri hartanah dan pelancongan Iconic Worldwide Bhd telah memperoleh 2.24 hektar tanah di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dengan harga RM12.53 juta untuk memudahkan pempelbagaiannya ke dalam pengeluaran peralatan perlindungan diri (PPE).
Subsidiari milik sepenuhnya, Iconic Medicare Sdn Bhd hari ini memeterai perjanjian untuk membeli tanah pegangan pajakan daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.
”Pengambilalihan itu akan membolehkan pembinaan kilang pengeluaran PPE yang akan menyumbang aliran pendapatan baharu kepada kumpulan,” kata syarikat Pulau Pinang itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Awal bulan ini, ia mengumumkan hasrat bagi mempelbagaikan pembuatan dan perdagangan PPE, termasuk sarung tangan dan topeng muka pakai buang. Kemudahan baharu di Batu Kawan akan beroperasi menjelang separuh kedua tahun hadapan.
Menurut Iconic Worldwide, kemudahan baharu ini akan menyumbang ke arah peningkatan persekitaran sosioekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada pasaran kerja tempatan yang telah terjejas akibat kesan pandemik COVID-19.
Pengambilan tanah tersebut akan dibiayai melalui dana dalaman atau pinjaman luaran, ia dijangka siap pada akhir suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.
Iconic Worldwide dahulunya dikenali sebagai Sanbumi Holdings Bhd menukar namanya pada Ogos tahun lepas.
— BERNAMA