KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — IJM Plantations Bhd (IJMP) optimis secara berhati-hati terhadap prospek 2021 berikutan keadaan tidak menentu yang berpanjangan dalam pasaran global minyak sawit.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Joseph Tek Choon Yee berkata walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) semasa terus meningkat, terdapat potensi penurunan harga berikutan tekanan daripada paras stok akhir tahun yang meningkat.
“Ini sejajar dengan pengeluaran minyak sawit yang berpotensi mengatasi jumlah eksport dan penggunaan. Bagaimanapun, ramai pekebun menghadapi kekurangan pekerja dan ini menjejaskan operasi, terutamanya semasa kemuncak tanaman bermusim, menjejaskan pemulihan tanaman daripada pokok,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan ke-35 syarikat perladangan sawit huluan di Petaling Jaya hari ini.
Tek berkata IJMP, yang mempunyai operasi huluan di Malaysia dan Indonesia, berpendapat bahawa pengeluaran tanaman keseluruhannya, dan pengeluaran MSM dijangka rendah pada tahun kewangan ini berbanding tahun lepas.
Ini juga boleh menjadi trend biasa dalam industri minyak sawit dalam tempoh sama. Berdasarkan laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran tanaman di Malaysia dalam tempoh tujuh bulan pertama 2020 berkurangan 671,619 mt atau 5.8 peratus pada tahun lepas.
“IJMP berpandangan bahawa pengeluaran tanaman di negara-negara pengeluar utama semasa jangkaan pengeluaran kemuncak akhir tahun dijangka mengecewakan,” katanya.
Tek berkata pengeluaran tanaman yang rendah berikutan cuaca kering di Malaysia dan Indonesia dari Ogos hingga November tahun lepas, dan fenomena La Nina yang akan datang dari September hingga November tahun ini.
Beliau berkata operasi, seperti menuai hingga pemindahan tanaman dan kualiti produk sawit, akan terjejas semasa musim hujan.
“Sehubungan itu, pengeluaran MSM Malaysia dijangka tidak melebihi 20 juta tan, manakala pengeluaran MSM Indonesia pada 2020 telah diunjurkan oleh ramai penganalisis susut satu hingga dua juta tan daripada 44 juta tan pada tahun lepas,” katanya.
Tek berkata permintaan di peringkat global terhadap minyak sawit dijangka pulih, berikutan sekatan pergerakan yang semakin berkurangan di seluruh dunia, dengan pengguna utama seperti China dan India yang telah kembali ke pasaran.
“Dorongan tambahan untuk menggunakan lebih banyak minyak sawit dalam biofuel, terutamanya oleh Indonesia, akan memberi prospek yang baik untuk menurunkan stok dan menaikkan harga tetapi ini akan dikaitkan dengan harga minyak mentah.
“Minyak mentah yang kukuh menjadikan minyak sawit pilihan yang lebih menarik sebagai stok suapan biodiesel.
“Indonesia baru-baru ini mengumumkan akan menaikkan levi eksport minyak sawit untuk menyokong program biodieselnya berikutan harga minyak mentah yang dijangka terus lemah,” katanya.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2021 berakhir 30 Jun, syarikat gergasi perladangan itu mengunjurkan keuntungan bersih sebanyak RM82.16 juta berbanding defisit sebanyak RM4.77 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Perolehan, bagaimanapun, sebanyak RM205.98 juta daripada RM133.06 juta pada tahun lepas.
— BERNAMA