KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Scientex Bhd mencatatkan pendapatan yang lebih baik iaitu sebanyak RM390.1 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2020, meningkat 16.9 peratus daripada RM333.7 juta tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar produk pembungkusan plastik fleksibel (FPP) itu berkata jumlah perolehannya ialah RM3.52 bilion, mengukuh 8.3 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Scientex Bhd Lim Peng Jin berkata produk FPP syarikat mendapat manfaat daripada menyokong sektor makanan dan minuman utama di Malaysia dan rantau ini.
“Terdapat peningkatan dalam aktiviti domestik dengan perniagaan dan isi rumah kembali kepada keadaan biasa bermula daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan seterusnya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, beliau berkata syarikat akan terus memperluas dan membangunkan lebih banyak produk FPP dengan nilai ditambah serta memperoleh kecekapan yang lebih besar.
Pada suku keempat berakhir 31 Julai, 2020, kumpulan menyaksikan keuntungan bersihnya mengembang 6.5 peratus kepada RM142.1 juta berbanding RM133.4 juta sebelumnya.
Hasil pula menokok 1.7 peratus kepada RM954.6 juta berbanding RM938.8 juta dalam suku yang sama sebelumnya.
— BERNAMA