KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Impak pandemik COVID-19 ke atas industri minyak dan gas, ditambah dengan aktivisme agenda hijau, boleh mendorong penggabungan dan penyatuan mega dalam kalangan syarikat utama industri ini, kata Penganalisis AmInvestment Bank Bhd, Alex Goh.
Beliau berkata pemegang saham dan aktivisme agenda hijau semakin mempengaruhi syarikat minyak utama untuk beralih daripada bahan api fosil dengan pelan meningkatkan tenaga boleh diperbaharu sebanyak 6.4 kali ganda kepada 45 gigawatt (GW) seiring jumlah perbelanjaan modal yang dirancang sebanyak US$200 bilion (kira-kira RM828 bilion) menjelang 2030, daripada tujuh GW pada masa ini.
“Semua syarikat minyak utama, kecuali Exxon Mobil buat masa ini, komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dengan rancangan menjual pelaburan minyak dan gas luar negara masing-masing. Ini boleh mewujudkan satu era penggabungan dan penyatuan besar-besaran,” katanya berasaskan Sidang Kemuncak Tahunan Maya Asia-Pasifik 2020 oleh Rystad Energy.
Rystad Energy merupakan syarikat perisikan perniagaan dan penyelidikan tenaga bebas berpangkalan di Norway yang menyediakan perkhidmatan analisis data dan perundingan kepada industri minyak dan gas.
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Yinson Holdings Bhd telah melabur dalam tenaga solar.
Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharu itu mula dilaksanakan sejak tiga tahun lepas dengan Petronas mengendalikan kapasiti solar 448 megawatt (MW) di India dan Asia Tenggara selain sedang membangunkan 212 MW lagi.
Di Malaysia, Petronas mengoperasikan dan membangunkan kapasiti solar 50 MW, sebahagiannya untuk bekalan kepada 15 pasar raya Tesco.
Antara penyedia perkhidmatan tempatan, hanya Yinson yang mengambil langkah berani dengan melabur US$30 juta (RM124 juta) bagi pegangan ekuiti sebanyak 95 peratus dalam Rising Son Energy, yang memiliki ladang solar 160 MW di Fasa II Bhadla Solar Park, Rajasthan, India.
Goh berkata pertambahan semula janji niaga penggabungan dan pengambilalihan hiliran sememangnya dijangkakan berikutan kekurangan aktiviti pada separuh pertama 2020 dengan Chevron membeli Nable Energy pada US$13 bilion (RM54 bilion) Julai tahun ini.
Langkah korporat dijangka diambil dengan Exxon Mobil merancang untuk menjual aset di United Kingdom, Jerman, Australia, Indonesia, Vietnam dan Malaysia.
Beliau berkata Repsol dan Petrofac juga merancang untuk menamatkan operasinya di Malaysia.
Beliau berkata Rystad menjangkakan kes COVID-19 meningkat sebanyak lima kali ganda semasa musim sejuk pada November hingga Disember tahun ini berikutan keimunan kelompok tidak akan dapat dicapai.
Memandangkan strategi realistik adalah hanya menunggu vaksin yang boleh diberikan di peringkat global dalam tempoh lapan hingga 24 bulan maka teknologi baharu serta tingkah laku yang disesuaikan akan terus memberi kesan struktural jangka panjang ke atas penggunaan tenaga.
“Permintaan harian terhadap minyak di peringkat dunia dijangka susut sebanyak 18 juta tong pada 2020 walaupun trafik harian di jalan raya global menunjukkan pertambahan pada September, disokong oleh keadaan China dan negara Asia lain yang hampir kembali normal,” katanya.
Beliau berkata Rystad memberi amaran mengenai senario gelombang kedua yang akan mengurangkan lagi pengeluaran sebanyak empat juta tong sehari menjelang akhir tahun ini.
“Pandemik viral ini akan memberi impak negatif bersih ke atas permintaan minyak global sehingga 2025, dengan kira-kira 0.9 juta tong sehari di bawah paras pra-COVID-19, selepas susut 24 juta tong pada April tahun ini,” katanya.
Sementara itu pengeluaran minyak syal Amerika Syarikat (AS) yang menyusut sebanyak 2.7 juta tong sehari, berasaskan bulan ke bulan sehingga April 2020, akan terus merosot di bawah regim harga US$40 hingga US$45 setong (RM165.50 hingga RM186.20) sehingga pertumbuhan mula menunjukkan perkembangan pada akhir 2021.
Walaupun pengeluaran OPEC+ dijangka pulih kepada paras sebelum COVID-19 menjelang pertengahan 2022, namun pengeluaran negara pengeluar minyak lain tidak termasuk Timur Tengah dan AS diunjurkan berkurangan secara beransur-ansur pada 2020 hingga 2025 berikutan kelulusan yang diberikan bagi medan minyak adalah berkurangan pada 2020 hingga 2021, katanya.
Harga minyak akan pulih kepada senario asas sebanyak US$75 (RM310) setong pada akhir 2022 susulan langkah pengurangan pengeluaran minyak global dan mendorong permintaan pulih secara berperingkat, yang akan menetapkan kitaran penurunan harga selanjutnya pada 2023 hingga 2024.
Bagaimanapun, kitaran peningkatan yang lebih tidak menentu akan mendorong harga melebihi US$90 (RM372.40) setong menjelang pertengahan 2022, diikuti kemerosotan lebih drastik kepada US$30 (RM124.13) setong pada 2024 daripada potensi berbanding pelaburan.
AmInvestment mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap industri itu dengan saranan beli ke atas Bumi Armada Bhd, Dialog Group Bhd, Petronas Chemical Group Bhd, Petronas Gas Bhd dan Serba Dinamik Holdings Bhd selain saranan jual bagi Sapura Energy Bhd dan Velesto Energy Bhd serta ‘tunggu’ ke atas MISC Bhd.
Goh berkata meskipun harga minyak mentah mengalami ketidaktentuan berterusan, namun kitaran penurunan telah mencapai paras rendah dengan mengalami prestasi terburuk pada April tahun ini apabila harga Brent merosot kepada paras serendah US$14 (RM58) setong, manakala niaga hadapan kembali kepada harga negatif akibat kekurangan kapasiti penyimpanan.
“Kami memilih Petronas Gas memandangkan strategi struktur modal kumpulan itu yang optimum dan asas keuntungan berdaya tahan diterjemahkan kepada hasil dividen yang menarik.
“Kami juga berminat dengan Dialog Group dan Serba Dinamik Holdings susulan terminal tangki bukan kitaran yang tahan lasak dan operasi berasaskan penyenggaraan manakala Petronas Chemicals Group mempunyai kaitan yang tinggi dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini,” katanya.
Walaupun Bumi Armada masih dijangka mengalami susut nilai aset menjelang akhir tahun ini, syarikat itu menunjukkan keberuntungan yang stabil berikutan prestasi lebih baik bagi operasi kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung, Armada Kraken serta lembaran imbangan lebih kukuh, katanya.
— BERNAMA