KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) memperoleh 50 peratus saham PCC SE di Jerman menerusi anak syarikatnya di Malaysia, PCC Oxyalkylates Malaysia Sdn Bhd (PCC-OM) untuk meneroka pasaran oxyalkylates yang sedang berkembang.
PCG dan PCC SE merancang untuk membina kemudahan oxyalkylates di Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih, Terengganu untuk menghasilkan etoksilat dan poliol polieter, kata PCG.
“Pembinaan kemudahan itu dijangka dimulakan pada 2021, manakala pengeluaran dijadualkan bermula pada 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua syarikat juga berhasrat menubuhkan pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bersama di PCC-OM untuk memastikan tahap inovasi yang tinggi dan memenuhi keperluan pelanggan individu.
“Ini merupakan satu lagi kejayaan PCG dalam usaha kami mengembangkan segmen perniagaan bahan kimia khusus kumpulan,” kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG Datuk Sazali Hamzah.
Ini merupakan usaha pertama PCG memasuki pasaran oxyalkkylates.
“Kami akan terus meneroka pelaburan dalam lebih banyak teknologi dan aset yang akan mengembangkan portfolio bahan kimia bernilai tinggi, seterusnya mengekalkan kesinambungan masa hadapan perniagaan kami, ” kata Sazali.
Pengerusi Lembaga Pentadbiran PCC SE, Waldemar Preussner berkata loji PCG di Kertih adalah sesuai berikutan wujudnya bahan mentah dan infrastruktur sangat baik serta akses pelabuhan langsung, sekali gus memastikan pengeluaran dan kos logistik yang kompetitif.
“Projek ini membolehkan kami memanfaatkan pengetahuan yang telah kami perolehi sejak beberapa dekad dalam pengeluaran oxyalkylates di kemudahan kami dan pusat R&D baharu bagi pelanggan di Asia, akan mewujudkan jalan untuk mengembangkan portfolio produk kami.
“Dengan PCG, kami telah menemui rakan strategik yang kuat untuk pelaburan ini dan kolaborasi berpotensi yang lain dalam industri kimia,” katanya.
Oxyalkylates adalah sekumpulan bahan kimia yang terdiri daripada etoksilat, surfaktan bukan ionik, dan poliol polieter. Bahan kimia ini digunakan untuk pembuatan pelbagai produk akhir.
Etoksilat digunakan antaranya dalam pembuatan bahan cuci, produk penjagaan rumah dan produk penjagaan diri, manakala poliol polieter digunakan untuk menghasilkan tilam busa dan aplikasi bahan-bahan upholsteri.
Permintaan bagi kedua-dua bahan kimia ini dijangka meningkat terutamanya di kawasan Asia Tenggara dan Asia Pasifik.
PCC SE yang beribu pejabat di Duisburg, Jerman adalah pesaing surfaktan global dengan pengetahuan mapan yang diperoleh selama beberapa dekad dalam pengembangan dan pengeluaran surfaktan dan poliol.
Ia menubuhkan PCC-OM pada 2017 untuk memasuki pasaran sekitar rantau Asia.
— BERNAMA