KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Radiant Globaltech Bhd bercadang membeli 80 peratus kepentingan dalam Grand-Flo Spritvest Sdn Bhd (GF Spritvest) pada harga RM11.6 juta untuk mengembangkan liputan pelanggan domestiknya, meningkatkan rangkaian perisian dan perkhidmatan-perkhidmatan lain kepada pelanggan.
Pengarah Urusannya Paul Yap Ban Foo berkata pembelian itu sejajar dengan strategi memperkukuh asas pelanggan industri sebagai pelengkap kubu syarikat pada masa ini dalam kalangan pemain runcit.
“Selain liputan yang lebih meluas dalam sektor pelanggan, Radiant Group memanfaatkan bukan sahaja dengan mengembangkan rangkaian produk dan perkhidmatan kami, malah, menggabungkan sumber untuk pembangunan penyelesaian teknologi yang selanjutnya untuk mendigitalkan operasi kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Radiant Group memeterai perjanjian jualan saham bersyarat (SSA) dengan syarikat induk GF Spritvest, Grand-Flo Bhd (GF) untuk membeli 800,000 saham atau 80 peratus modal saham terbitan GF Spritvest.
Baki 20 peratus lagi akan dipegang oleh Jejaka 7 Capital Sdn Bhd, yang mana Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GF Spritvest, Cheng Ping Liong memegang majoriti kepentingan ekuiti sebanyak 55 peratus.
Selain itu, GF Spritvest memeterai perjanjian khidmat dengan Cheng untuk terus bertugas sebagai pengarah dan CEO.
Cheng juga akan memberikan jaminan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM3.2 juta daripada tarikh selesai SSA sehingga tahun kewangan yang berakhir 31 Dis 2022.
GF Spritvest menyediakan penyelesaian pengambilan dan pengumpulsemakan data elektronik untuk membolehkan perniagaan menguruskan dan mengumpul semak data dengan kod bar dan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio.
Para pelanggannya antara lain, terdiri daripada syarikat-syarikat terkemuka dalam industri barangan dan elektronik pengguna yang mendapat sambutan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia.
— BERNAMA