KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) — Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2 peratus pada Julai 2020 sejak Februari 2020 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan IPP pada Julai 2020 disebabkan oleh kenaikan 2.9 peratus dalam indeks pembuatan.
Bagaimanapun, katanya indeks perlombongan dan indeks elektrik, masing-masing merekodkan kemerosotan sebanyak 3.0 peratus dan 5.1 peratus.
“Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 2.9 peratus pada Julai 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus pada Jun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Julai 2020 ialah produk peralatan elektrik dan elektronik (9.6 peratus), kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (9.0 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.5 peratus).
Output sektor perlombongan menguncup 3.0 peratus pada Julai 2020 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-1.2 peratus) dan indeks gas asli (-4.4 peratus).
Output sektor elektrik menguncup 5.1 peratus pada Julai 2020 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.
— BERNAMA