KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — Mudajaya Corporation Bhd (MCB) dan Apollo Ventures Co. Ltd secara bersama telah bersetuju untuk menamatkan Perjanjian Jual Beli Saham (SSPA) membabitkan cadangan pelupusan kepentingan ekuiti MCB sebanyak 7.07 peratus dalam RKM Powergen Pte Ltd kepada Apollo.
MCB adalah anak syarikat milik penuh Mudajaya Group Bhd (MGB).
MCB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kedua-dua pihak dibebaskan daripada sebarang kewajipan, pelaksanaan, tanggungjawab dan liabiliti mereka di bawah SSPA itu.
SSPA tersebut merangkumi pelupusan 140 juta saham biasa MCB dalam RKM kepada Apollo bagi balasan tunai sebanyak US$19.5 juta (bersamaan dengan kira-kira RM76.6 juta).
Menurut MCB, penamatan perjanjian berkenaan dijangka tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas kumpulan dan tidak tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham Mudajaya atau mana-mana pihak berkuasa kerajaan.
— BERNAMA




