KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Ekovest dan IWCity antara kaunter paling aktif diniagakan pada sesi pagi berikutan laporan berita beberapa projek mega dijangka dilaksanakan semula untuk menampan kejutan ekonomi pasca COVID-19.
Pada 10.13 pagi, Ekovest menokok 5.5 sen atau 11.34 peratus kepada 54 sen dengan 96.51 juta saham diniagakan, manakala IWCity naik empat sen atau 6.84 peratus kepada 62.5 sen dengan 51.66 juta saham bertukar tangan.
Akhbar harian berbahasa Inggeris tempatan, The Star memetik penganalisis sebagai berkata, pelan pemulihan ekonomi jangka sederhana dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober dan berkemungkinan, aliran berita mengenai penyambungan semula beberapa projek mega akan dilaporkan yang amat penting untuk mewujudkan pekerjaan dan menampan kejutan ekonomi.
Sementara itu, Kabinet meluluskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura pada bulan lepas, namun, Malaysia dan Singapura telah bersetuju melanjutkan penangguhan projek berkenaan sehingga akhir tahun.
— BERNAMA