KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) — Pembekal telekomunikasi Maxis Bhd telah melancarkan kempen transformasi semula, yang mengandungi misi untuk mengubah arah pendigitalan berskala besar milik semua korporat di negara ini dan membolehkan mereka supaya sentiasa berada di hadapan dalam dunia yang berubah-ubah.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata kempen itu bertujuan untuk menggalakkan organisasi di negara ini supaya merancang dan menilai semula strategi transformasi digital mereka, berdasarkan kepada pandemik COVID-19.
Bagi Maxis, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan persekitaran COVID-19 telah memaksa syarikat mempercepatkan perjalanan transformasi digital untuk sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal.
Keadaan juga telah menonjolkan peranan yang dimainkan oleh Maxis semasa dalam tempoh yang sukar seperti sekarang, memandangkan perniagaan terdedah kepada risiko yang lebih besar tanpa teknologi dan komunikasi, katanya.
“Kami sudah pun ada strategi (untuk transformasi) dan melabur dalam strategi yang (akan) mengubah Maxis dan keupayaan syarikat kami
“Keadaan semasa telah memaksa kami mempercepatkan banyak inisiatif kami. Pendigitalan, analitik, Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan keupayaan awan telah membolehkan Maxis untuk bertindak balas dan mempercepatkan transformasi digital kumpulan,” katanya semasa pelancaran kempen itu di sini hari ini.
McManus berkata, saranan untuk tindakan transformasi semula telah diperkukuhkan dengan penemuan oleh Penilaian Teknologi Digital 2020, yang dibangunkan secara bersama dengan International Data Corporation (IDC).
Ditampilkan dalam IDC InfoBrief, kajian tersebut memberikan gambaran yang menyeluruh mengenai usaha pendigitalan syarikat Malaysia dalam teknologi utama.
Penemuan utama daripada tinjauan ini mendedahkan bahawa organisasi kekurangan strategi jangka panjang yang diperlukan bagi mengubah perniagaan mereka.
— BERNAMA