GEORGE TOWN, 3 Sept (Bernama) — Syarikat pembangunan dan pelaburan hartanah berpangkalan di Pulau Pinang, Aspen Group, menjangkakan pembinaan kilang pembuatan sarung tangannya siap pada Mac 2021.
Menerusi kenyataan, Aspen Group berkata Aspen Glove Sdn Bhd (AGSB) telah mengemukakan permohonan bagi kelulusan perintah pembangunan dan pelan bangunan kepada Majlis Perbandaran Kulim untuk pembinaan kilang tersebut.
“Kerja-kerja cerucuk dijangka bermula 21 Sept ini sebaik sahaja mendapat kelulusan pemegang saham bagi cadangan pempelbagaian itu.
“Pembinaan keseluruhan kilang berkenaan dijadualkan siap pada Mac 2021,” menurutnya.
AGSB merupakan syarikat usaha sama di antara anak syarikat milik penuh Aspen Group Holdings Ltd, Aspen Vision All Sdn Bhd (AVA) dengan syarikat pegangan pelaburan, CMY Capital Sdn Bhd (CMY), untuk mempelbagaikan perniagaan sedia ada Aspen Group.
Pada 1 Sept, AGSB melaksanakan perjanjian pajakan dengan Kulim Technology Park Sdn Bhd (KTPC) untuk pajakan 11.87 hektar tanah perindustrian di Taman Teknologi Tinggi Kulim selama 60 tahun, dengan pilihan bagi lanjutan 39 tahun lagi.
AGSB juga mendapat hak memperoleh penawaran pertama kali pada 12 Ogos bagi pajakan tambahan 14.98 hektar tanah perindustrian bagi tujuan pembinaan kilang pembuatan sarung tangan getah dan nitril.
Sementara itu, Aspen Group juga secara rasmi telah melantik bekas Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Iskandar Basha Abdul Kadir sebagai pengarah urusan AGSB.
“AGSB sedang di peringkat akhir untuk melantik individu yang layak dan memiliki lebih 20 tahun pengalaman terutama dalam industri pembuatan sarung tangan getah bagi jawatan ketua pegawai operasi AGSB,” menurut Aspen Group.
— BERNAMA