KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — Paramount Corporation Bhd kekal yakin dengan prospek sektor hartanah di pasaran pesat membangun, terutama di Malaysia, pada separuh kedua 2020 walaupun wujud ketidaktentuan akibat krisis COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata kadar pembelian hartanah dijangka pulih pada separuh kedua 2020 susulan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Pasaran pekerjaan kita amat stabil jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat, dan itu bagi perkhidmatan awam.
“Kita juga mempunyai beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bagi mereka adalah sukar untuk memberhentikan pekerja kerana kerajaan mahu melindungi pekerjaan,” katanya semasa taklimat media mengenai prestasi kewangan separuh pertama 2020 syarikat itu di sini, hari ini.
Beliau berkata selain pasaran pekerjaan, Malaysia juga memiliki kekuatan lain untuk menyokong pemulihan ekonomi dalam melangkah ke hadapan, termasuk statusnya sebagai negara berasaskan komoditi.
“Harga minyak mentah global sedang menstabil dan ia dicatatkan sebelum tempoh pemulihan penuh Perintah Kawalan Pergerakan. Apabila keadaan kembali seperti lazim sepenuhnya, harga minyak mentah akan terus meningkat. Ini baik untuk Malaysia memandangkan kita merupakan antara pengeluar minyak mentah,” katanya.
Chew berkata selain itu persekitaran kadar faedah rendah, ditambah dengan pelaksanaan semula Kempen Pemilihan Rumah pada Jun 2020, dijangka meningkatkan pembelian hartanah.
Setakat 30 Jun, 2020, jualan belum dibilkan Paramount bernilai RM873 juta, dengan beberapa projek yang masih dijalankan dan dijadualkan siap tahun ini, termasuk Suasana di Utropolis Batu Kawan dan Urbano di Utropolis Glenmarie.
Ia juga dijadual melancarkan lima projek hartanah baharu pada separuh kedua 2020, kebanyakannya dalam suku ketiga, dengan anggaran nilai keseluruhan RM640 juta, iaitu di Sepang, Klang, Cyberjaya, Shah Alam dan Sungai Petani.
— BERNAMA