Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac, 2020, berikutan penularan pandemik COVID-19 telah membawa impak yang besar terhadap ekonomi domestik.
Antara sektor yang teruk terjejas adalah sektor korporat yang mana impaknya kebanyakannya dicerminkan dalam keputusan kewangan syarikat pada suku kedua 2020 tanpa mengira akhir tahun kewangan mereka.
Beberapa ahli ekonomi sebelum ini menjangkakan kesan penuh akan dapat dilihat pada Suku Kedua, yang menyaksikan penguncupan ketara keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia awal bulan ini.
Ekonomi Malaysia susut sebanyak 17.1 peratus pada Suku Kedua 2020, penurunan suku tahun dua angka terburuk sejak 1998 berikut langkah kawalan pergerakan yang belum pernah berlaku sebelum ini yang dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 yang menyebabkan ekonomi hampir terhenti sepenuhnya.
Pada suku keempat 1998, Malaysia merekodkan penurunan dua angka 11.2 peratus dan pertumbuhan KDNK 4.9 peratus pada suku kedua 2019.
Prestasi Syarikat Utama pada Suku Kedua
AirAsia Group Bhd, antara syarikat yang paling teruk terjejas semasa tempoh itu menyaksikan hasilnya pada Suku Kedua 2020 jatuh menjunam sebanyak 96 peratus kepada RM119 juta ketika kemuncak krisis kesihatan itu apabila banyak negara mengumumkan sekatan pergerakan dan sempadan.
Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM992.89 juta pada suku kedua berbanding keuntungan bersih RM17.34 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Dalam industri penerbangan, sebanyak 42 peratus daripada perolehan syarikat penerbangan tambang rendah adalah daripada segmen kargo dan operasi logistik, manakala perbelanjaan kumpulan merosot berikutan kumpulan pesawat tidak aktif pada akhir suku pertama dan operasi disambung semula secara berperingkat pada akhir Mei dan awal Jun berikutan sekatan perjalanan domestik yang dikurangkan.
Mengulas mengenai keputusan itu, Kenanga Investment Bank berkata dalam jangka masa sederhana, AirAsia dijangka menghadapi persekitaran operasi yang sukar, terjejas akibat gangguan perjalanan berikutan COVID-19 dan faktor muatan yang rendah.
“Kumpulan telah memohon pinjaman bank di negara operasi masing-masing untuk meningkatkan mudah tunai bagi membantu membiayai modal kerja dan pembayaran balik liabiliti pajakan, berjumlah RM12.2 bilion sehingga 30 Jun, 2020.
“Selain itu, AirAsia mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk usaha sama dan kerjasama yang boleh membawa kepada tambahan pelaburan pihak ketiga dalam segmen perniagaan kumpulan yang tertentu,” kata Kenangan.
Sunway Bhd yang merupakan antara konglomerat terbesar di Malaysia, turut mencatatkan perolehan yang rendah dalam tempoh sama berikutan sumbangan endah daripada kebanyakan segmen perniagaan kecuali pembangunan hartanah, kuari dan penjagaan kesihatan.
“Pandemik COVID-19, PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) sejak 18 Mac, 2020 telah menyebabkan gangguan dan impak kewangan yang besar kepada kumpulan, terutamanya perniagaan perhotelan dan riadah di bawah segmen pelaburan hartanah kumpulan yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut.
“Walaupun kebanyakan perniagaan lain kumpulan telah menyambung semula operasi semasa PKPB, jangkaan pemulihan perniagaan akan mencabar dan bergantung kepada peningkatan ekonomi secara keseluruhan,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini.
Sementara itu, keuntungan bersih United Plantation Bhd yang berpangkalan di Perak melonjak 63 peratus pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020 kepada RM123.59 juta berikutan kumpulan itu terus menggalakkan pengeluaran minyak sawit mentah dan isirung kelapa sawit di tengah-tengah harga jualan purata berbanding tahun sebelumnya.
Perolehan turut meningkat kepada RM294.32 juta daripada RM270.53 juta sebelumnya, kata kumpulan perladangan sawit dan kelapa itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia bulan lepas.
Suku kedua bagi tahun kewangan 2020 merupakan satu kelebihan kepada kebanyakan syarikat perladangan berikutan mereka mencatatkan prestasi kewangan luar biasa susulan peningkatan harga MSM di tengah-tengah musim pengeluaran yang rendah.
Mereka memperoleh keputusan kewangan yang memberangsangkan berikutan ekonomi dibuka semula secara berperingkat pada April hingga Jun selepas beberapa bulan pelaksanaan sekatan pergerakan akibat COVID-19, yang membolehkan negara-negara khususnya pembeli minyak sawit seperti China dan India mula menambah inventori mereka.
Bagi industri peruncitan, satu daripada pemain utama, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd merekodkan penyusutan perolehan bagi kedai serbanekanya yang berjumlah RM78.2 juta atau 13.3 peratus bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun 2020.
Kebanyakan kategori produk merekodkan perolehan lebih rendah melainkan tembakau yang menokok 22.7 peratus dan menyumbang kepada margin kasar dan keuntungan kasar yang lebih rendah.
“Prestasi kumpulan pada suku kedua terjejas akibat COVID-19 memandangkan semasa PKP, kedai-kedai di pusat beli-belah ditutup, manakala yang lain beroperasi pada waktu yang terhad.
“Kesemua kedai kami telah dibuka, namun, masih tidak dibenarkan beroperasi 24 jam berdasarkan peraturan PKP Pemulihan,” kata syarikat itu.
‘Cahaya Di Hujung Terowong’
Walaupun terjejas teruk semasa suku kedua, ekonomi kini menunjukkan petanda pemulihan selepas kerajaan mula membenarkan lebih banyak perniagaan dan industri beroperasi seperti biasa sejak pelaksanaan PKPP.
Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ekonomi Malaysia yang menerima kesan buruk akibat pandemik COVID-19, telah mula menunjukkan pengembangan sejak Jun dengan pembukaan perniagaan secara berperingkat mulai 4 Mei lepas.
Dalam satu temu bual dengan Bernama dan TV3 baru-baru ini, beliau berkata impak sekatan mula dirasai pada April 2020 apabila KDNK menguncup sebanyak 28.6 peratus dari tahun ke tahun.
“Bagaimanapun, pada Mei 2020, KDNK adalah -19.5 peratus dan pada Jun 2020, ia merekodkan penguncupan kecil sebanyak 3.2 peratus dari tahun ke tahun, ini satu peningkatan disebabkan banyak perniagaan telah mula beroperasi.
“Secara kumulatif, KDNK pada suku kedua menurun 17.1 peratus memandangkan negara ini berada dalam perintah kawalan sekatan dengan penguatkuasaan yang cukup ketat bagi mengekang penyebaran COVID-19. Kami melihat pemulihan dalam keluk V mulai Mei lepas, (oleh itu) Jun menjadi barometer terbaik bagi mencerminkan ekonomi semakin positif,” katanya.
Berdasarkan kepada perkembangan dan petunjuk terkini, MIDF Research meramalkan ekonomi terus meningkat tetapi secara beransur-ansur disebabkan sentimen masih lemah berikutan ketidakpastian terhadap COVID-19, ditambah pula dengan risiko kelemahan lain yang muncul seperti keadaan politik, dasar perlindungan yang semakin meningkat dan ketegangan geopolitik.
“Sesetengah negara sedang menyaksikan penyebaran semula kes COVID-19 sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengenakan kembali sekatan pergerakani atau menangguhkan rancangan membuka ekonomi. Di peringkat domestik, kenaikan dalam COVID-19 masih terkawal. Bagaimanapun, kebimbangan mengenai impak negatif dari luar negara terhadap Malaysia masih wujud,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
— BERNAMA