Bursa Malaysia ditutup teramat rendah pada sesi dagangan tengah hari ini dengan tekanan jualan dilihat secara menyeluruh di pasaran.
Pada masa sama para pelabur masih lagi dalam proses untuk menerima pengumuman angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk suku kedua tahun ini.
Bank Negara Malaysia mengumumkan KDNK pada suku kedua menguncup 17.1 peratus, penurunan suku tahunan dua digit paling rendah sejak 1998, berikutan pemberhentian aktiviti secara mendadak bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ekonomi hampir terhenti.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 13.0 mata kepada 1,563.42 berbanding 1,576.42 ketika ditutup semalam.
Indeks utama dibuka 2.37 mata lebih tinggi pada 1,578.79 dan bergerak antara 1,561.84 dan 1,579.63 sepanjang sesi pagi.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran masih lagi negatif dengan saham rugi mengatasi untung 968 berbalas 149 sementara 252 kaunter tidak berubah, 627 tidak diniagakan dan 33 lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 6.52 bilion saham bernilai RM2.43 bilion.
Di pasaran serantau, Bursa Saham Shanghai China turun 0.17 peratus kepada 3,315.23, Indeks Straits Times Singapura naik sedikit 0.01 peratus kepada 2,596.32, Indeks Nikkei Jepun mengukuh 0.11 peratus kepada 23,275.27 dan Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 0.10 peratus kepada 25,205.75.
Pasaran Asia bergerak bercampur-campur, memantau prestasi semalaman Wall Street di celah-celah data ekonomi China yang lemah dan kebimbangan mengenai penangguhan pakej rangsangan AS yang dilihat telah menghalang beberapa pelabur untuk mengambil risiko.
Di pasaran tempatan pula, seorang peniaga berkata pasaran dibuka tinggi tetapi susut selepas itu dan terus berada dalam kerugian sepanjang sesi pagi dengan aktiviti jualan menguasai urus niaga.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM7.78, Public Bank jatuh 22 sen kepada RM17.58, Top Glove merosot 84 sen kepada RM24.16, Tenaga merosot lapan sen kepada RM11.08 dan Hartalega lebih rendah 36 sen kepada RM16.20.
Saham paling cergas, XOX turun empat sen kepada 21.5 sen, Sapura Energy lega setengah sen kepada 12.5 sen, Pegasus berkurangan satu sen kepada tiga sen sementara Priceworth dan Trive Property, masing-masing tidak berubah pada empat sen dan dua sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 123.53 mata kepada 11,146.12, Indeks FBM Emas Shariah kerugian 156.16 mata kepada 12,937.75 dan Indeks FBMT 100 merosot 113.25 mata kepada 10,978.27.
Indeks FBM 70 pula kerugian 232.83 mata kepada 14,168.72 dan FBM ACE jatuh 411.70 mata kepada 9,687.30.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 124.42 mata kepada 13,264.14, Indeks Perladangan merosot 35.64 mata kepada 6,988.65 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 1.40 mata kepada 138.28.
— BERNAMA