Pasaran Wall Street merekodkan kenaikan mingguan apabila ditutup sedikit tinggi pada hari Jumaat (7 Ogos 2020). Pelabur-pelabur melihat data ekonomi di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bukti pemulihan ekonomi yang terus berjalan walaupun Kongres AS masih belum menemui kata putus lanjutan rangsangan ekonomi.
Dalam penutupan di Bursa Saham New York semalam, Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang mengandungi 30 syarikat terbesar dalam bursa saham Amerika Syarikat (AS) naik sebanyak 0.17% dan ditutup pada 27,433 mata.
Indeks komposit Nasdaq yang terdiri lebih daripada 2,500 syarikat ditutup pada paras 11,010 mata dengan penyusutan 0.87%.
Manakala indeks S&P 500 yang sering dijadikan panduan prestasi keseluruhan ekonomi AS ditutup 0.06% lebih tinggi di paras 3,351 mata.
Apa yang memberi keyakinan kepada pelabur adalah data pekerjaan Non-Farm Payroll (NFP) pada Jumaat yang merekodkan bacaan memberangsangkan. Amerika Syarikat merekodkan tambahan 1.7 juta pekerjaan di luar sektor perladangan yang mana lebih baik daripada jangkaan pasaran iaitu 1.53 juta.
Kadar pengangguran pula beransur pulih dengan catatan 10.2% berbanding bacaan sebelum ini 11.1%. Dalam masa yang sama kadar upah per jam di Amerika Syarikat meningkat 0.2% jauh lebih baik berbanding penyusutan 1.3% sebelum ini.
Dalam perkembangan di Kongres AS, Nancy Pelosi berkata White House menolak tawaran pengurangan rangsangan daripada $3.4 trillion kepada $1 trillion. Ini satu lagi rentetan kegagalan pakej rangsangan yang gagal dipersetujui.
Pasaran Asia Tertekan Akibat Ketegangan AS-China
Pasaran Asia kebanyakannya mengalami kejatuhan pada akhir sesi dagangan minggu ini apabila ketegangan antara AS-China sekali lagi tercetus dengan isu terbaru melibatkan syarikat teknologi dari China.
Presiden Trump pada Jumaat menandatangani arahan untuk menghalang syarikat tempatan daripada berurusan dengan syarikat teknologi dari China seperti TikTok dan WeChat bagi menjaga keselamatan negara.
Ini adalah isu terbaru yang menghambat China selepas White House mendesak gergasi teknologi China, Bytedance menjual TikTok kepada Microsoft. Isu terbaru ini dibimbangi memburukkan lagi hubungan AS-China dan menggagalkan usaha rundingan dagangan antara kedua-dua negara itu.
Antara yang mengalami kejatuhan pada Jumaat adalah indeks Nikkei di Jepun (-0.39%), indeks Hang Seng di Hong Kong (-1.60%), indeks Shanghai dan CSI300 di China masing-masing jatuh 0.96% dan 1.15%.
Bagi pasaran Asia Tenggara, indeks utama di Indonesia jatuh 0.66%, indeks komposit Filipina susut 1.39%, indeks utama di Thailand dengan kejatuhan 0.66%. Sebaliknya indeks utama di Singapura pula mengalami kenaikan 1.98%.
Memandangkan perang teknologi menyebabkan AS-China semakin tidak sehaluan, bursa Asia dijangka akan terus menerima tekanan yang membawa kepada sentimen penghindaran risiko.
Bursa Malaysia Catat Rekod Baru
Bursa Malaysia pada minggu ini merekodkan jumlah dagangan tetringgi sebanyak empat kali iaitu pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat yang kebanyakannya dipacu oleh minat pelabur terhadap saham penjagaan kesihatan dan penglibatan pelabur runcit.
Pada pembukaan sesi dagangan hari Isnin, Bursa Malaysia mencatat dagangan sebanyak 13.12 billion saham yang dipacu oleh jualan besar-besaran membabitkan saham-saham berharga rendah dan juga permintaan terhadap kaunter-kaunter sarung tangan.
Rekod dagangan Bursa Malaysia sekali lagi dipecahkan pada hari Selasa dengan 15.62 billion saham didagangkan bersamaan RM10.44 billion. Penganalisa mengatakan ia disebabkan urusniaga dagangan yang tinggi dalam kaunter penjagaan kesihatan, teknologi dan telekomunikasi.
Pada hari Rabu, jumlah dagangan kekal di paras tinggi tetapi sedikit rendah daripada hari Selasa. Kaunter penjagaan kesihatan terus menjadi buruan dalam kalangan pelabur berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh dunia, diikuti dengan saham teknologi yang mendapat rangsangan daripada peningkatan saham Apple di Amerika Syarikat.
Sekali lagi rekod jumlah dagangan dapat dipecahkan pada hari Khamis dengan 16.68 billion saham bertukar tangan. Sentimen pasaran tempatan dilihat positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi dipacu oleh aliran kenaikan pasaran Wall Street dan juga aktiviti belian ketara dalam komponen indeks ACE yang berharga rendah.
Pada akhir sesi dagangan minggu ini, Bursa Malaysia menutup dagangan dengan rekod terbaru jumlah dagangan sebanyak 26.65 billion saham tetapi dengan penyusutan indeks FBM KLCI -0.65%.
Prestasi negatif pada Jumaat disebabkan risiko terbaru yang dicetuskan oleh Presiden Trump melarang penduduk AS daripada menjalankan sebarang perniagaan dengan WeChat, TikTok atau pemilik aplikasi dari China berikutan Washington mahu mengekang dominasi China dalam teknologi global.
Secara keseluruhannya, penganalisis pasaran berpendapat jumlah dagangan tinggi yang diniagakan pada minggu ini mencerminkan kerancakan bursa tempatan. Ini petunjuk yang baik kepada pasaran ekuiti tempatan, berikutan ia menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan pelabur asing.
Sumber Rujukan:
- www.investing.com
- Bernama
- South China Morning Post