KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan hampir semua indeks mencatat kenaikan ketika petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak pada saat-saat akhir dan mencecah paras harian tertinggi 1,588.57 iaitu menokok 20.44 mata.
Pasaran itu turut meneruskan momentum kenaikannya apabila sekali lagi mencecah jumlah dagangan tertinggi sebanyak 16.68 bilion saham bernilai RM8.56 bilion berbanding 15.57 bilion saham bernilai RM8.26 bilion pada Rabu.
Pada masa sama, indeks komposit (IK) FBM KLCI meraih 1.30 peratus kepada 1,588.57 daripada 1,568.13, sebelum ini.
Indeks penanda aras itu yang dibuka menokok 9.34 mata kepada 1,577.47 pada 9 pagi juga berlegar dalam jajaran 1,575.40 hingga 1,588.57 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 716 berbanding 468 manakala 358 lain tidak berubah, 437 tidak diniagakan dan 26 lain digantung.
Seorang penganalisis berkata momentum positif itu dipacu oleh aliran kenaikan dalam pasaran saham semalaman Amerika Syarikat manakala jumlah dagangan tertinggi itu didorong oleh aktiviti belian ketara dalam komponen indeks FBM ACE dan saham-saham berharga rendah.
“Peserta runcit kekal ketara dalam dagangan hari ini dengan saham penjagaan kesihatan terus menarik tumpuan pelabur yang susut apabila berlakunya aktiviti pengambilan untung,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik lima sen kepada RM7.52, Top Glove untung 46 sen kepada RM28.40 manakala Hartalega sebaliknya tidak berubah pada RM19.80.
Public Bank melonjak 30 sen kepada RM16.98, Tenaga meraih enam sen kepada RM11.00 dan IHH naik 16 sen kepada RM5.40.
Bagi saham paling aktif, XOX menambah satu sen kepada 27 sen, Niche mengukuh 11.5 sen kepada 23 sen dan Pegasus menokok setengah sen kepada 3.5 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Nestle untung RM3.70 kepada RM143.10, F&N menambah RM1.48 kepada RM32.98 dan Supermax meraih 78 sen kepada RM23.78.
Bagi kaunter paling rugi, Adventa merosot 37 sen kepada RM4.71, Dutch Lady susut 36 sen kepada RM39.40 dan Careplus rendah 28 sen kepada RM5.12.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 135.45 mata kepada 11,476.63, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 168.43 mata pada 13,646.60 dan Indeks FBMT 100 menokok 136.68 mata kepada 11,279.97.
FBM 70 pula naik 149.40 mata kepada 15,051.17 manakala FBM Ace melonjak 391.09 mata kepada 10,523.17.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 3.15 mata kepada 141.75, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 137.09 mata kepada 12,993.20 dan Indeks Perladangan menambah 83.73 mata kepada 7,072.20.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 9.0 bilion saham bernilai RM5.35 bilion berbanding 7.09 bilion saham bernilai RM5.78 bilion pada Rabu.
Selain itu, jumlah waran berkurangan kepada 759.05 juta unit bernilai RM242.51 juta daripada 804.62 juta unit bernilai RM336.64 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan merosot kepada 6.91 bilion saham bernilai RM2.96 bilion berbanding 7.67 bilion saham bernilai RM2.14 bilion, semalam.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 2.70 bilion saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (2.03 bilion), pembinaan (320.87 juta), teknologi (920.28 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (54.11 juta), hartanah (1.25 bilion), perladangan (77.61 juta), REIT (11.17 juta), dana tertutup (70.100), tenaga (1.27 bilion), penjagaan kesihatan (88.12 juta), telekomunikasi dan media (72.68 juta), pengangkutan dan logistik (161.86 juta) serta utiliti (31.17 juta).
— BERNAMA