KUALA LUMPUR, Aug 5 (Bernama) — Dagangan Bursa Malaysia terus bercampur-campur dan dalam keadaan tidak menentu ketika mengakhiri sesi awal dagangan hari ini.
Situasi ini juga disebabkan oleh beberapa aktiviti pengambilan untung, terutamanya ke atas saham berkaitan komoditi dan ia turut diselangi kegiatan membeli ketika harga murah untuk saham di FBM ACE dan yang bermodal kecil.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sedikit sebanyak 0.77 mata kepada 1,575.17 berbanding 1,575.94 ketika ditutup hari sebelumnya.
Indeks utama pula mengukuh 2.88 mata kepada 1,578.82 dan bergerak antara 1,566.87 dan 1,579.91 sepanjang sesi pagi.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 659 berbalas 355, manakala 383 kaunter tidak berubah, 566 tidak diniagakan dan 16 lain digantung.
Jumlah dagangan ialah sebanyak 9.11 bilion saham bernilai RM4.75 bilion.
Seorang penganalisis berkata kaunter penjagaan kesihatan terus mengungguli senarai kaunter mencatatkan keuntungan berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 seluruh dunia, diikuti oleh saham teknologi yang mendapat rangsangan daripada pengukuhan 0.67 peratus harga saham Apple di Amerika Syarikat.
Di dalam negara pula, kaunter teknologi mendapat dorongan daripada program Fintech Booster yang baharu diperkenalkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia.
Program ini bertujuan membina hab bagi perundingan, penasihat dan penyedia penyelesaian untuk menyediakan peralatan serta sokongan kepada syarikat fintech yang mahu membangunkan produk dan perkhidmatan mereka.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing kekal pada RM7.50 dan RM16.70, manakala Top Glove meningkat enam sen kepada RM28.42 dan Hartalega menokok dua sen kepada RM19.96.
Tenaga lega dua sen kepada RM10.92 dan Petronas Chemicals jatuh lapan sen kepada RM5.74.
Saham-saham paling cergas pula, Vsolar menambah setengah sen kepada lima sen, Fintec naik dua sen kepada 12 sen dan Bioalpha lebih tinggi 4.5 sen kepada 33 sen.
Saham paling untung Bursa Malaysia melonjak 81 sen kepada RM10.76, F&N mengembang 62 sen kepada RM31.14 dan Kossan meraih 58 sen kepada RM19.42.
Saham paling rugi, MPI merosot 54 sen kepada RM14.82, KLK susut 48 sen kepada RM22.72 dan Petronas Dagangan jatuh 36 sen kepada RM20.06.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 44.75 mata kepada 11,379.32, Indeks FBM Emas melambung 81.54 mata kepada 13,528.03 dan Indeks FBMT 100 mengukuh 31.71 mata kepada 11,185.75.
Indeks FBM 70 pula lebih tinggi sebanyak 187.30 mata kepada 14,929.10 manakala FBM ACE mengembang 256.26 mata kepada 9,916.44.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.69 mata kepada 139.24, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1.69 mata kepada 12,883.74 sementara Indeks Perladangan susut 19.68 mata kepada 7,017.07.
— BERNAMA