KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — XOX Bhd dan Key Alliance Group Bhd (Kgroup) adalah antara kaunter yang paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia pada sesi pagi ini.
Ini berikutan langkah Kgroup menambah kepentingannya dalam XOX untuk muncul sebagai pemegang kepentingan tunggal terbesar dalam pengendali rangkaian maya mudah alih itu, semalam.
Dalam satu kenyataan, Kgroup berkata ia telah menukar 248.6 juta saham keutamaan dalam XOX kepada saham induk dengan harga RM6.2 juta, menjadikan jumlah pegangan saham XOX kepada 347.9 juta saham, mewakili 17.83 peratus modal berbayar XOX.
Penyedia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu berkata pihak lembaga merasakan ini adalah masa yang tepat untuk meningkatkan kepentingannya ekoran perkembangan pantas XOX baru-baru ini untuk menguasai aliran pendapatan yang berbeza, yang bersesuaian dengan rangkaian awan, pusat data dan “Internet of Thing (IoT) Kgroup.
“Pelaburan dalam XOX amat berbaloi, dengan langkah ke arah mesin “vending” kepintaran buatan (AI), pembiayaan mikro dan kini, potensi kerjasamanya bersama syarikat telekomunikasi asing untuk program 5G – kesemuanya positif untuk meningkatkan aliran pendapatan dalam bergerak ke hadapan, dengan memanfaatkan asas pelanggan,” katanya.
Dengan rancangan peluasan kumpulan baru-baru ini untuk menceburi industri peranti perubatan, Kgroup berkata pemilikan strategik XOX telah menyediakan kumpulan itu peluang yang jelas untuk bergerak ke arah rumusan penjagaan kesihatan digital berasaskan awan dengan menggunakan keupayaan e-dompet XOX, serta saling hubung, pengkomputeran dan kapasiti storan yang disediakan oleh pusat data dan perkhidmatan awam Kgroup.
— BERNAMA