KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Unit Ranhill Utilities Bhd, Ranhill Water Technologies Sdn Bhd, telah memperoleh kontrak bernilai RM14.7 juta dari Build Land Technology Sdn Bhd untuk kerja-kerja mekanikal dan elektrikal bagi projek air di Melaka.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ranhill Utilities berkata projek itu adalah sebahagian daripada kerja-kerja pembangunan modal untuk Syarikat Air Melaka Bhd yang dijalankan oleh Pengurusan Aset Air Bhd.
“Projek ini, yang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan akan datang, ia akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2020,” katanya.
Di bawah kontrak tersebut, Ranhill akan membekalkan semua bahan, tenaga kerja, kilang dan keperluan yang diperlukan untuk pelaksanaan, penyelesaian, pengujian dan pentauliahan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal untuk Loji Rawatan Air Merlimau dan Lanchang di Melaka.
— BERNAMA