Ketiga-tiga indeks utama Wall Street membuat penurunan pada akhir dagangan minggu lalu (24 Julai 2020) berikutan kerugian yang dicatatkan dalam sektor healthcare, teknologi dan industri.
Indeks Dow Jones jatuh sebanyak 0.68%, Nasdaq ditutup 0.94% lebih rendah manakala S&P 500 membuat penurunan 0.62%.
Kejatuhan pada akhir sesi dagangan di Wall Street adalah berikutan prestasi pendapatan yang lemah, lonjakan kes positif Covid-19 dan juga ketidaktentuan geopolitik dunia.
Apabila mengambil kira sesi dagangan sepanjang minggu lalu, ketiga-tiga indeks utama merekodkan prestasi negatif.
Apa yang menyebabkan ketidaktentuan di keseluruhan pasaran dunia adalah ketegangan terbaru antara Amerika Syarikat dan China di mana arahan penutupan konsulat negara China di Houston pada Selasa (21 Julai 2020). Hasilnya, China bertindak balas mengarahkan penutupan konsulat AS di Chengdu pada Jumaat.
Kebanyakan bursa saham Asia juga jatuh pada hari Jumaat berikutan ketegangan ini. Bukan itu sahaja, penurunan dalam sektor teknologi di Wall Street juga memberi tekanan kepada pasaran Asia pada sesi akhir dagangan minggu lalu.
Indeks Hang Seng di Hong Kong ditutup 2.21% lebih rendah, manakala indeks komposit Shanghai di China jatuh 3.86% dan indeks komposit Shenzhen yang terdiri daripada saham-saham small-cap jatuh 5%.
Bursa Malaysia juga ditutup rendah pada akhir sesi dagangan minggu lalu di mana indeks FBM KLCI jatuh 16.81 mata atau 1.05 peratus kepada 1,589.61 susulan pengambilan untung yang besar di 24 daripada 30 kaunter indeks.
Indeks penjagaan kesihatan meneruskan momentum penurunan apabila susut 3.58 peratus kepada 3,665.70.
Penganalisis ekuiti berkata pengambilan untung wujud apabila nilai saham diyakini telah mencecah paras tinggi tertentu sekali gus mendorong pedagang jangka pendek keluar dari pasaran.
Bagi saham berwajaran tinggi, aliran menurun didahului Top Glove yang jatuh 68 sen kepada RM25.44, diikuti Petronas Chemicals turun 15 sen kepada RM6.26, Hartalega kurang 32 sen kepada RM17.86. Petronas Dagangan menguncup 94 sen kepada RM20.62 dan Public Bank susut 20 sen kepada RM17.72.
Berikut adalah lima catalyst yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini;
Amerika Syarikat VS China
Ketegangan yang memuncak pada minggu lalu tidak akan berakhir dalam masa terdekat dan isu ini akan terus membayangi pergerakan pasaran saham global pada minggu ini.
Terlalu banyak ketidaktentuan dalam hubungan kedua-dua negara ini sejak Presiden Trump ditabalkan menjadi Presiden Amerika Syarikat. Daripada mengenakan tariff import hinggalah halangan terhadap syarikat-syarikat China beroperasi di negara itu dan banyak lagi kemungkinan dijangka berlaku menjelang pilihanraya Presiden AS pada hujung tahun ini.
Pelabur bimbang dengan perang dingin antara dua negara ini dalam masa dunia masih berhadapan dengan penularan Covid-19.
Oleh itu, pasaran akan terus memerhatikan perkembangan hubungan AS-China pada minggu ini di mana jika terdapat isu baru yang dibangkitkan terutamanya oleh Presiden Trump, maka pasaran turut akan terkesan.
Isu Rangsangan Ekonomi Di Kongres Amerika Syarikat
Sepanjang minggu lalu para pembuat dasar di Amerika Syarikat bersama-sama mencari jalan untuk merangsang ekonomi negara itu yang masih berhadapan ketidaktentuan penularan Covid-19. Ahli-ahli Kongres AS dari pihak Demokrat dan Republikan masih gagal mencapai kata putus berhubung jumlah rangsangan yang diperlukan.
Rakyat AS sedang menunggu berapakah faedah yang bakal mereka terima terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan disebabkan penularan koronavirus.
Begitu juga kepada para pelabur saham global yang bakal memberi reaksi selepas ia diumumkan pada hari Isnin (27 Julai 2020). Rangsangan terbaru oleh kerajaan AS ini adalah pemangkin yang bakal menggerakkan pasaran saham pada hari Isnin terutamanya di Amerika Syarikat.
Jika rangsangan yang diberikan lebih baik daripada apa yang diharapkan oleh pelabur, maka kita bakal melihat pasaran Wall Street pada Isnin membuat kenaikan. Sebaliknya, pasaran saham di negara itu bakal tertekan.
Mesyuarat The Federal Reserve
Bank pusat Amerika Syarikat ini akan bermesyuarat selama dua hari 29-30 Julai 2020 di mana keputusan penetapan dasar bakal diumumkan pada hari Khamis (30 Julai 2020) pukul 2 pagi.
Apa yang perlu diperhatikan oleh pelabur dalam mesyuarat kali ini adalah nada yang dikeluarkan oleh The Fed sama ada ‘dovish’ atau ‘hawkish’. Sudah pasti dovish adalah yang diharapkan oleh pelabur agar kadar faedah di negara itu kekal rendah seklaigus memudahkan mereka mendapatkan tunai.
Sememangnya, bank pusat dijangka akan menekankan bahawa kadar faedah akan kekal rendah bagi memulihkan ekonomi. Program pembelian bon tanpa had juga diramal akan dikekalkan bagi memastikan kecairan yang mencukupi di dalam ekonomi pada tempoh sukar ini.
Tumpuan akan terarah kepada pengerusi The Fed, Jerome Powell dalam sesi soal-jawab bersama wartawan pada pukul 2.30 pagi hari Khamis.
Laporan Pendapatan Di Wall Street
Antara nama besar yang bakal mengumumkan prestasi pendapatan mereka adalah Boeing, Starbucks, Exxon Mobil, Gilead Science, Facebook, Apple, Amazon dan Alphabet.
Sehingga hari Jumaat (31 Julai 2020) nanti, 26% syarikat daripada indeks S&P 500 dijangka telah mengumumkan prestasi mereka pada suku kedua. Kebanyakan syarikat mengumumkan prestasi tidak baik berikutan penutupan ekonomi yang dibuat oleh Amerika Syarikat pada suku kedua.
Kebanyakan gergasi teknologi akan menjadi tumpuan pada minggu ini. Pelabur akan meneliti sama ada prestasi positif sejak beberapa bulan lepas oleh saham-saham teknologi dapat diterjemahkan dalam laporan suku kedua ini.
Data GDP Suku Kedua Amerika Syarikat
Ini adalah antara data tumpuan pelabur saham global pada minggu ini di mana data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat ini akan dikeluarkan pada hari Khamis pukul 8.30 malam.
Data GDP bagi suku kedua ini dijangka akan mendedahkan kemelesetan yang berlaku dalam ekonomi AS. Pihak Markit Economics sebagai penyedia data-data ekonomi dunia menjangka ekonomi AS meleset sebanyak 35% pada suku kedua.
Walaubagaimanapun, ekonomi AS pada suku ketiga dijangka naik semula 18%, namun apa yang membimbangkan adalah lonjakan kes Covid-19 akan menjadi risiko kepada ramalan ini.