KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat tinggi sedikit kepada AS$104.0 bilion pada 15 Julai, berbanding AS$103.4 bilion pada 30 Jun.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata kedudukan paras rizab memadai untuk membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa (setakat 15 Julai, 2020) terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$95.7 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$2.2 bilion), dan aset rizab lain (AS$3.7 bilion).
Katanya, aset terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR, yang berjumlah RM445.37 bilion; kertas kerajaan Malaysia (RM10.47 bilion); deposit oleh institusi kewangan (RM2.27 bilion); pinjaman dan pendahuluan (RM16.41 bilion); tanah dan bangunan (RM4.17 bilion); dan aset-aset lain (RM12.31 bilion).
Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM174.49 bilion), mata wang dalam edaran (RM124.48 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM133.67 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM17.40 bilion), deposit lain (RM14.70 bilion), kertas Bank Negara (RM13.32 bilion), peruntukan SDR (RM7.93 bilion), dan liabiliti lain (RM4.91 bilion).
— BERNAMA