KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Yinson Holdings Bhd dan rakan projeknya Sumitomo Corporation, telah memeterai perjanjian pembiayaan pinjaman jangka pendek berjumlah AS$400 juta untuk projek FPSO Anna Nery, kapal kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO) untuk projek penggiatan semula Marlim di Brazil.
Dalam satu kenyataan hari ini, Yinson berkata pinjaman jangka pendek itu dijangka dimanfaatkan mulai Oktober 2020 bagi menyokong pembinaan FPSO Anna Nery yang sedang berjalan sementara Yinson dan Sumitomo terus berusaha untuk penutupan pakej pembiayaan projek jangka panjang bagi projek berkenaan.
Sumitomo memiliki 25 peratus kepentingan dalam projek FPSO Anna Nery, yang diberikan kepada Yinson oleh by Petróleo Brasileiro S.A. (Petrobras) pada Oktober 2019.
Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Yinson Daniel Bong berkata niaga janji itu telah mencatatkan lebihan langganan oleh bank yang mengambil bahagian, sekali gus memperlihatkan bukti kukuh sokongan mereka terhadap Yinson meskipun dalam situasi COVID-19 yang mencabar dan penurunan harga minyak.
Tahun lepas, kapal pertama (Malaysia) Yinson, FPSO Helang, melalui proses penukaran 19 bulan yang lancar, mencapai gas pertama pada Disember 2019.
Kerja di FPSO Anna Nery berjalan dengan baik, dengan kerja-kerja pemerolehan, kejuruteraan dan pembinaan berjalan seperti dirancang, kerja-kerja perobohon telahpun selesai, kerja fabrikasi modul rancak berjalan dan dermaga kering pertama dijangka dilancarkan pada akhir September 2020, katanya.
— BERNAMA