KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Vestland Bhd telah menerima kontrak bernilai RM240 juta untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan dua blok rumah rakyat di Taman Desa, Kuala Lumpur.
Syarikat pembinaan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata anak syarikat milik penuhnya Vestland Resources Sdn Bhd telah menerima surat lantikan daripada Ambang Besar Sdn Bhd (ABSB).
“Kerja yang akan dijalankan menerusi kontrak ini merangkumi bangunan utama, mekanik dan elektrik serta kerja luaran bagi dua blok rumah rakyat 34 tingkat dan 29 tingkat serta kemudahan berkaitan,” katanya.
Kontrak ini akan bermula pada 15 Nov atau pada tarikh pemilikan tapak yang akan dimaklumkan oleh ABSB, atau yang mana terkemudian, manakala pembinaan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan daripada tarikh pemilikan tapak.
Vestland berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak, sekiranya tiada kelewatan barang.
— BERNAMA