KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) — Velesto Energy Bhd (VEB) memperoleh dua kontrak masing-masing daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (EMEPMI) dan Jadestone Energy Group yang beribu pejabat di Singapura.
Penyedia perkhidmatan sektor minyak dan gas huluan itu berkata unit milik penuh tidak langsungnya, Velesto Workover Sdn Bhd, menerima surat lantikan untuk menyediakan unit dan perkhidmatan kerja pulih hidraulik dan perkhidmatan bagi program telaga EMEPMI.
Kumpulan VEB menugaskan unit Gait 6nya untuk melakukan kerja pulih, palam dan peninggalan, dengan tarikh permulaan projek dijangka pada suku ketiga tahun ini bagi kontrak selama dua tahun, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Nilai kontrak itu akan berdasarkan kepada kadar dan perintah kerja yang dipersetujui, jika ada, yang akan dikeluarkan oleh EMEPMI dalam tempoh kontrak.
Sementara itu, dalam makluman berasingan, VEB mengumumkan unit milik penuh tidak langsungnya Velesto Drilling Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai US$6.1 juta (RM28.3 juta) daripada Jadestone Energy (M) Pte Ltd untuk menyediakan pelantar penggerudian jack-up Velesto Naga 2.
Kontrak itu melibatkan penggerudian empat telaga di bawah program gerudi tambah Jadestone Energy di lapangan minyak Belumut Timur, luar pantai Semenanjung Malaysia, yang juga dijangka bermula pada Suku Ketiga 2023.
Velesto Naga 2 ialah pelantar jack-up premium dengan keupayaan kedalaman penggerudian 30,000 kaki dan kedalaman air operasi berkadar 350 kaki.
VEB berkata kedua-dua kontrak itu dijangka menyumbang kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 dan 2024.
— BERNAMA