KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — UOB Malaysia Bhd menjangka ekonomi negara melantun semula kepada 6.0 peratus tahun depan berbanding unjuran awalnya pada 5.5 peratus susulan usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani impak pandemik COVID-19.
Ahli Ekonomi Kanannnya Julia Goh berkata permintaan luaran yang bertambah baik akan menjadi satu lagi penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi negara.
Beliau berkata sokongan dasar kerajaan yang berterusan menerusi pelbagai pakej fiskal, langkah-langkah Belanjawan 2021 dan penurunan kadar faedah kumulatiff setakat ini, akan merangsang pemulihan.
Potensi pengeluaran vaksin COVID-19 yang efektif, pemulihan ekonomi global yang lebih baik daripada dijangkakan dan asas ekonomi Malaysia yang pelbagai juga memberi prospek positif bagi tahun depan.
“Dalam Belanjawan 2021, kerajaan merancang perbelanjaan besar sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi membantu permintaan domestik dan kesan pengganda daripada perbelanjaan ini akan membantu meningkatkan lagi KDNK,” katanya pada taklimat media maya mengenai Prospek Ekonomi 2021 UOB Malaysia, di sini, hari ini
Goh berkata satu lagi potensi pemangkin pertumbuhan adalah kemajuan projek prasarana mega seperti Transit Aliran Ringan Berkapasiti Tinggi ketiga (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pantai Barat, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Sistem Transit Rel Johor Bahru-Singapura dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapural (HSR).
“Selain itu, pemulihan kompleks penapis Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia Petronas (RAPID) dan pemulaan operasi kemudahan Petronas Floating Liquefied Natural Gas-2 akan memberi prospek yang baik kepada pelaburan.
“Kami juga menjangka pelaburan dalam sektor getah, elektrik dan elektronik dan penjagaan kesihatan berpotensi memacu pertumbuhan pada tahun depan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, laluan pemulihan Malaysia dijangka tidak sekata dan akan bergantung kepada risiko peningkatan semula penularan COVID-19.
Mengenai sama ada lanjutan lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan memberi impak kepada ekonomi, Goh berkata walaupun PKPB yang ketika ini meliputi hampir seluruh negara kurang ketat berbanding sebelum ini dan membenarkan aktiviti ekonomi diteruskan, ia telah menjejaskan sentimen perniagaan dan pengguna pada suku keempat tahun ini.
“Kesan PKPB kurang berbanding PKP Diperketatkan (PKPBD) dengan kos ekonomi akibat PKPB kali ini kurang kira-kira 15 peratus antara RM17 dan RM22 bilion berbanding RM32 hingga RM45 bilion semasa PKP pada Mac dan April,” katanya.
Sementara itu, unjuran peningkatan permintaan luar, terutamanya dalam Asia kelihatan positif, katanya.
Permeteraian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) baru-baru ini menandakan pengukuhan ekonomi dan hubungan perdagangan serta integrasi dalam kalangan ekonomi Asia Pasifik.
Keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) juga memberi petanda yang baik bagi permulaan baharu dalam perundingan perdagangan dengan China dan ini dijangka meningkatkan hubungan AS-China yang seterusnya memberikan kesan limpahan positif bagi negara-negara Asia, katanya.
Mengenai prestasi ringgit tahun ini, Goh berkata, dengan penurunan nilai dolar AS, harga komoditi yang stabil dan pengukuhan Renminbi China, UOB Malaysia menjangka ringgit bergerak ke arah paras RM4.05 berbanding dolar AS pada 2021.
— BERNAMA