KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023, susut kepada RM301.83 juta berbanding RM612.10 juta dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM4.67 bilion daripada RM4.37 bilion sebelum ini, menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut IHH Healthcare, perolehan yang tinggi itu didorong oleh lebih ramai pesakit, dengan intensiti perolehan yang tinggi dalam pasarannya.
“Kumpulan menjangka pertumbuhan perolehan dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang berterusan dan akan mengekalkan kawalan ketat ke atas kos dan memanfaatkan sinergi operasi untuk mengurangkan tekanan inflasi dan kadar faedah,” katanya.
Pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2023, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM1.69 bilion daripada RM1.11 bilion dicatatkan pada separuh pertama tahun lepas manakala perolehan melonjak kepada RM9.82 bilion daripada RM8.54 bilion sebelum ini.
Dalam makluman berasingan, kumpulan itu mengumumkan dividen tunai interim sebanyak 3.5 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, yang akan dibayar pada 27 Okt 2023.
Kumpulan itu turut mengumumkan pelantikan Dr Prem Kumar Nair sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan IHH, berkuat kuasa 1 Okt 2023 manakala Joe Sim, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IHH telah memutuskan untuk meletak jawatan dan kembali ke perkhidmatan awam.
Pada masa ini, Dr Nair memegang jawatan sebagai CEO IHH Healthcare Singapura sejak April 2020 dan telah berjaya menerajui operasi Singapura menempuh COVID-19.
— BERNAMA
TAG: IHH Healthcare, keuntungan bersih, perolehan, dividen, pelantikan