KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) — Bermaz Auto Bhd (BAuto) mencatatkan untung bersih yang lebih rendah kepada RM70.22 juta untuk suku pertama tahun kewangan 2025 berakhir 31 Julai, 2024 berbanding RM100.22 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024.
Hasil turun sebanyak 22.3 peratus kepada RM846.18 juta daripada RM1.09 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah daripada operasi domestiknya.
“Penurunan dalam jualan domestik dipengaruhi oleh pelancaran beberapa model baharu dan wajah baharu oleh pengedar-pengedar jenama lain.
“Keuntungan sebelum cukai BAuto juga menurun 30.5 peratus kepada RM42.9 juta berbanding suku yang sama tahun lepas,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan itu juga berkata perbelanjaan berkaitan skim saham pekerjanya meningkat kepada RM2.0 juta pada suku pertama 2025, berbanding RM100,000 pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Pada masa depan, lembaga pengarah menjangkakan prestasi kumpulan bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir 30 April, 2025 akan berdepan dengan cabaran.
“Tekanan inflasi, ketidaktentuan berterusan dalam konflik geopolitik dan pertumbuhan global yang lemah akan memberi kesan negatif terhadap keseluruhan ekonomi Malaysia.
“Jualan kenderaan di negara ini juga terjejas oleh kemasukan kenderaan buatan China. Pelancaran model baharu dan wajah baharu bagi jenama kenderaan sedia ada dan yang akan datang dari kumpulan ini akan bergantung kepada sentimen pasaran dan keadaan ekonomi,” tambahnya.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3.50 sen dividen satu peringkat sesaham bagi tahun kewangan 2025, dengan tarikh pembayaran ditetapkan pada 6 November, 2024 dan tarikh kelayakan pada 18 Oktober, 2024.
— BERNAMA