KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — EyRIS Pte Ltd telah mendapat kontrak selama lima tahun daripada Kementerian Kesihatan Singapura untuk penggunaan produk berasaskan kecerdasan buatan yang pertama, ‘SELENA +’.
EyRIS dimiliki 42 peratus oleh novaHEALTH Pte Ltd yang dimiliki sepenuhnya oleh Nova MSC Bhd.
“Teknologi canggih itu akan menjadi sebahagian daripada program penyaringan nasional Singapura dan ia dijangka menyumbang pendapatan berulang kepada kumpulan itu bagi jangka masa panjang,” kata Nova MSC Bhd dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai teknologi saringan retina kendiri, SELENA + mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengesan simptom penyakit mata dikalangan pesakit diabetes, seperti retinopati diabetes, glaukoma dan degenerasi makula berkaitan penuaan (penyakit mata berkaitan penuaan), katanya.
SELENA + dibangunkan bersama oleh pasukan penyelidik daripada Singapore Eye Research Institute dan National University of Singapore (NUS) School of Computing.
Ditubuhkan pada tahun 2002, Nova MSC Bhd adalah syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang terlibat dalam penjagaan kesihatan, pembekal perkhidmatan bagi penyelesaian kerajaan digital, automasi bangunan dan pembinaan secara maya.
— BERNAMA