KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Tanco Holdings Bhd, Tanco Builders Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM82.76 juta daripada Win Global Builder Sdn Bhd (WGBSB) bagi projek pembangunan Rumah Selangorku yang melibatkan kerja-kerja pembinaan bangunan utama dan infrastruktur.
Projek yang dibangunkan oleh WGBSB itu melibatkan kerja-kerja pembinaan bangunan utama dan infrastruktur bagi satu blok pangsapuri Rumah Selangorku yang terdiri daripada 400 unit, tadika, tempat letak kereta dan kemudahan lain seperti surau, pejabat pengurusan, dewan, kedai, kolam renang, bilik sampah dan pos pengawal.
“Tarikh permulaan kerja akan diputuskan kemudian, dan Tanco Builder akan memulakan kerja pada atau selepas tarikh tersebut dan menyiapkannya dalam tempoh 32 bulan,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu berkata, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan kumpulan.
Pada penutup dagangan bursa hari ini, saham Tanco naik setengah sen kepada 56 sen, dengan 25.90 juta saham bertukar tangan.
— BERNAMA