KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) — Unit milik penuh T7 Global Bhd, T7 Marine Sdn Bhd memeterai kerjasama dengan Mitsui E&S Shipbuilding Co Ltd untuk meneroka peluang perniagaan baharu bagi membekalkan kapal kepada pengawal pantai dan tentera laut Vietnam.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, T7 Global berkata T7 Marine dan Mitsui E&S menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) pada 27 Ogos, 2020 untuk bekerjasama dalam pelbagai aktiviti dan meneroka peluang perniagaan baharu bagi membekalkan kapal kepada pengawal pantai dan tentera laut Vietnam.
“Perjanjian itu berkuat kuasa mulai 27 Ogos, 2020 selama tiga tahun dengan pilihan untuk diperbaharu bagi satu tahun lagi,” kata penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu.
Menurut T7 Global, perjanjian itu akan menyediakan inisiatif kepada kedua-dia pihak untuk mewujudkan kerjasama berasaskan kepakaran dan kelebihan masing-masing bagi meneroka peluang dalam perniagaan kapal di Vietnam.
Ia berkata perjanjian itu dijangka tidak memberikan kesan material ke atas keuntungan sesaham, aset bersih sesaham, tahap kadar hutang, modal saham dan pegangan saham utama syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020.
“Sekiranya kerjasama ini direalisasikan, ia dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan syarikat pada masa depan,” menurutnya.
— BERNAMA