KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Samaiden Group Bhd (Samaiden), Samaiden Sdn Bhd memperoleh kontrak utama bernilai RM52 juta daripada Legasi Green Power Sdn Bhd bagi membina loji jana kuasa fotovoltan solar (LSSPV) berskala besar 14 megawatt di Sungai Petani, Kedah.
Syarikat itu menjelaskan skop kerja itu meliputi reka bentuk, pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pengoperasian berkaitan dengan projek.
“Kerja akan dimulakan selepas menandatangani surat lantikan hari ini dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan, pada Ogos 2025 atau dalam tempoh lanjutan seperti yang diperuntukkan dalam surat lantikan itu,” menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.
Samaiden memaklumkan tempoh liabiliti kecacatan untuk projek itu adalah 36 bulan daripada tarikh operasi komersial, tertakluk kepada kelulusan Tenaga Nasional Bhd dan Suruhanjaya Tenaga.
Tanpa mengira keadaan luar jangka, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan syarikat dalam tempoh projek dan tidak akan menjejaskan modal saham syarikat atau pegangan saham pemegang saham utama.
— BERNAMA