KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Minetech Resources Bhd memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM36.71 juta untuk loji hidrokuasa kecil tiga megawatt (MW) di Besut, Terengganu.
Pakar kejuruteraan awam dan pengeluar produk bitumen itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Techmile Resources Sdn Bhd telah menerima surat lantikan (LOA) daripada Tesdec Hydropower Sdn Bhd.
“Projek itu dijangka dimulakan pada Januari 2023 diikuti pembinaan pada 2025 dan akan siap menjelang Mei 2027,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia berkata projek itu di bawah program suapan tarif (FiT) Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), yang membolehkan perniagaan atau individu yang memegang sijil kelulusan suapan SEDA menjual tenaga boleh diperbaharui (RE) pada kadar FiT kepada pemegang lesen pengedaran seperti Tenaga Nasional Bhd.
Pengerusi Eksekutif Minetech Datuk Awang Daud Awang Putera berkata projek loji hidrokuasa kecil 3MW akan membolehkan syarikat itu turut mempamerkan keupayaan Minetech semasa syarikat mencari lebih banyak peluang dalam RE.
“Projek ini mewakili kami satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha kami ke dalam RE yang bermula pada 2020 sebagai sebahagian daripada transformasi organisasi di Minetech, yang merangkumi kepelbagaian dan rasionalisasi.
“Sebagai pelabur fotovolta solar berdaftar dengan SEDA dan pemilik loji kuasa solar terapung 9.99MW AC yang terletak di Pantai Remis, Perak, kami juga mampu menjual tenaga elektrik kepada agensi kerajaan, perniagaan dan individu di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih SEDA atau NEM 3.0,” katanya.
Techmile Resources menyediakan EPCC serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk industri tenaga, manakala Tesdec Hydropower terutamanya terlibat dalam aktiviti RE, pembangunan dan kemudahan di negeri ini.
Tesdec Hydropower ialah sub-subdiari Tesdec Bhd melalui anak syarikatnya, Tesdec Services Sdn Bhd.
— BERNAMA