KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Keyfield Offshore Sdn Bhd (KOSB), anak syarikat milik penuh Keyfield International Bhd (KIB), memperoleh lapan pesanan kerja (WOA) Petronas Carigali Sdn Bhd yang bernilai kira-kira RM130.03 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata WOA yang dikeluarkan pada Jun-Ogos 2024, merangkumi kerja-kerja pembekalan enam bot kerja penginapan serta dua kapal pengendali sauh dan kapal bekalan untuk aktiviti luar pesisir Petronas Carigali.
Skop kerja adalah “berdasarkan peruntukan di bawah kontrak kontraktor panel bagi perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir untuk kontraktor pengaturan petroleum, bertarikh 9 April, 2024 dan dilaksanakan antara Petronas Carigali dan KOSB,” kata kumpulan itu.
Lapan WOA itu melibatkan tempoh selama 91 hingga 153 hari dari tarikh permulaan pada sijil sewaan dan kerja-kerja berkaitan akan dijalankan dalam separuh kedua 2024.
“WOA itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan KIB dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024,” katanya.
— BERNAMA