KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) — Anak syarikat milik 65 peratus ITMAX System Bhd (ITMAX System), Southmax Sdn Bhd (SSB) dilantik oleh Majlis Perbandaran Segamat (MPS) untuk mengendalikan 7,637 petak parkir pintar di sekitar daerah berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ITMAX System berkata kontrak selama 15 tahun itu bermula dari 1 Sept, 2024 hingga 31 Ogos, 2039 termasuk tempoh simulasi dari 1 Okt, 2024 hingga 31 Dis, 2024.
“Kontrak ini akan dilaksanakan dengan model perkongsian hasil. SSB akan menerima 70 peratus dan MPS akan menerima 30 peratus daripada semua kutipan parkir termasuk parkir mengikut jam, parkir harian, parkir bulanan, pas musim, sewa parkir sementara dan denda parkir.
“SSB perlu menyediakan deposit jaminan bagi emolumen kakitangan dan anggaran pendapatan parkir di MPS selama enam bulan,” katanya.
Menurut ITMAX System, SSB bertanggungjawab ke atas kos pembangunan, pengurusan dan penyelenggaraan sistem parkir pintar serta peralatan dan papan tanda parkir.
— BERNAMA